Sebelum pelancaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060, syarikat tersebut mengatakan bahawa mereka telah memperkenalkan sebuah pengehad pelombong kriptowang Ethereum dengan perisian terbina. Ini adalah supaya pelombong kriptowang tidak membeli kad grafik tersebut dan sebaliknya mendapatkan kad grafik CMP yang dibina khusus untuk tujuan tersebut.
Akan tetapi, beberapa minggu selepas pelancarannya, NVIDIA secara tidak sengaja memperkenalkan sebuah kemaskini yang membenarkan pengguna kad grafik ini untuk melombong kriptowang tersebut dengan potensi penuh. Perisian tersebut telahpun dipadamkan, tetapi mereka yang memuat-turunnya boleh menggunakannya untuk melombong kriptowang Ethereum tanpa masalah.
Melalui laporan Tom’s Hardware, walaupun kemaskini tersebut membuka potensi melombong kriptowang kad grafik ini, ia masih hadir dengan sejumlah kekangan, seperti penggunaan slot PCIe 3.0 x8 dan setiap kad grafik ini dikatakan perlu disambungkan ke sebuah paparan sebelum ia boleh melombong dengan kecekapan maksima.

Oleh kerana pelombongan kriptowang hanya mementingkan kemampuan pengiraan daripada GPU, pelombong pada skala besar hanya perlu membeli papan induk dengan slot PCIe 3.0 x8 yang lebih banyak, tetapi keperluan untuk menyambungkan kad grafik kepada sebuah paparan akan menyebabkan kos meningkat.
Seorang pelombong kriptowang telah mengatakan bahawa kekangan ini boleh diatasi dengan cara yang cukup murah, iaitu menggunakan penyesuai HDMI murahan. Dengan penyesuai ini, kad grafik ini akan “melihat” bahawa kad grafik ini disambungkan kepada sebuah paparan, walaupun pada hakikatnya, ia hanyalah disambung kepada penyesuai sahaja.
NVIDIA nampaknya perlu mengubah strategi ataupun mengemaskini kad grafik mereka supaya ia tidak begitu mudah untuk ditipu dalam melombong kriptowang dengan mudah.