Busana Ini Diperbuat Daripada Kulit Yang Dihasilkan Menggunakan Cendawan

Busana Ini Diperbuat Daripada Kulit Yang Dihasilkan Menggunakan Cendawan

Diterbitkan pada Mac 22, 2021 oleh .

Dalam dunia fesyen wujud pergerakan anti kulit yang dilihat sebagai kejam terhadap haiwan. Fesyen mesra pengamal diet vegan kini mempunyai pasaran tersendiri cuma pilihan masih lagi agak terhad. Stella McCartney, pereka terkemuka yang juga merupakan pengalaman veganisme telah memperlihatkan busana pertama yang diperbuat sepenuhnya dari kulit yang dihasilkan menggunakan akar cendawan.

Bahan yang diberi nama Mylo Unleather ini mengambil bahagian mycelium – akar cendawan, yang kemudiannya diproses menjadi bahan yang mirip kulit lembu. Kerana ia diperbuat daripada akar, ia tidak akan mencemari dunia seperti bahan kulit buatan manusia yang berasaskan plastik. Kerana ia menggunakan cendawan, proses menghasilkan bahan mentah juga pantas tanpa memerlukan banyak air atau ladang lembu besar yang mencemari udara dengan metana. Kulit Mylo dilihat sebagai alternatif mesra alam dan juga tidak kejam kepada haiwan.

Busana lengkap ini terdiri daripada bustier dan seluar. Selain Stella McCartney, produk diperbuat daripada Mylo Unleather juga akan dikeluarkan oleh Adidas, Lululemon dan kumpulan Kering yang memiliki jenama mewah Gucci, Saint Laurent, Bottega Veneta, Balenciaga, Alexander McQueen dan Brioni.


Paling Popular