Carian
Pandang Pertama Poco X3 Pro – Snapdragon 860 Cip Apa Pulak?
March 22, 2021 Fahim Zahar

Poco X3 Pro baru sahaja dilancarkan sebentar tadi dan kami di Amanz berpeluang menguji peranti ini sedikit lebih awal. Sebaik sahaja peranti ini tiba ke Makmal Amanz, tanpa membuang masa saya terus menguji kemampuan peranti ini. Apa yang membuatkan peranti ini menarik perhatian saya adalah, ia kelihatan masih sama seakan Poco X3 NFC. Jika dibandingkan secara sebelah menyebelah, amat sukar untuk membezakan yang mana satu Pro dan yang mana satu versi NFC.

Dengan mengitar semula badan yang lama, Poco boleh jimat dan juga menjual peranti dengan harga lebih mampu milik. Peranti ini juga menggunakan cip pemproses yang pada hemat saya aneh, ia adalah Snapdragon 860 yang tidak pernah Qualcomm umumkan sebelum ini. Dalam semakan saya, ia sangat mirip dengan Snapdragon 855+ dan ia juga terhad dengan rangkaian 4G sahaja. Cuma adakah Poco X3 Pro ini cukup hebat? Adakah ia berbaloi dan untuk siapakah peranti ini?


Spesifikasi Dan Rekaan

Poco X3 Pro
Skrin6.67″ IPS LCD, DotDisplay
FHD+, 120Hz,
PemprosesSnapdragon 860 (7nm)
CipLapan Teras, Mencapai 2.96GHz
Cip GrafikAdreno 640
RAM6/8 GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama48+8+2+2 Megapixel f/1.79+f/2.2+f/2.4+f/2.4
Kamera Swafoto20 Megapixel f/2.2
Bateri5160mAh
Pengecasan berwayar 33W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 4G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari fizikal di sisi
Harga JualanBermula dari RM999

Poco X3 Pro menggunakan rekaan yang sama, jadi apa yang anda lihat pada X3 NFC itulah yang anda dapat. Tetapi pilihan warna adalah sedikit berbeza agar mudah untuk anda membezaknnya. Lapisan kaca perlindungan pula adalah Gorilla Glass 6 yang sedikit lebih tahan lasak berbanding generasi lama yang digunakan sebelum ini. Modul kamera tebal juga masih sama, cuma kamera adalah 48MP dan bukannya 64MP. Kemudian 13MP ditukar kepada 8MP dan dua lagi sensor 2MP dikekalkan.

Seperti X3 NFC, peranti ini juga agak berat di tangan kerana binaan yang tebal serta bateri 5160mAh yang dimuatkan. Peranti ini juga mempunyai skrin yang sama, iaitu 6.67-inci IPS LCD DotDisplay 120Hz dengan resolusi FHD+. Cip pemproses adalah antara kejutan yang Poco bawakan, iaitu Snapdragon 860. Ia adalah cip pemproses baharu yang terhad dengan 4G dan ia adalah berasaskan Snapdragon 855+ pada dua tahun lalu. Jadi, tiga tahun lalu Poco F1 dilancarkan dengan Snapdragon 845 dan tiada Poco F2. Jadi tahun ini Poco X3 Pro adalah pengganti Poco F1 sebenar kerana menggunakan cip lebih hebat dari Snapdragon 845?

Memori diberi pilihan sehingga 8GB RAM atau storan yang boleh dipilih dari 128GB atau 256GB yang berasaskan UFS 3.1. Penawaran memori juga akan membantu peranti ini beroperasi pada jadar lebih lancar dan pantas.

Kamera pula adalah 48MP, sedikit berbeza dengan Poco X3 NFC yang menggunakan kamera 64MP. Ia turut mempunyai lensa sudut ultra lebar 8MP dan dua lensa 2MP untuk makro dan kedalaman. Kamera swafoto pula adalah 20MP. Sistem pengecasan masih sama degan sebelum ini, iaitu 33W berwayar. Untuk sekuriti, pengimbas cap jari di sisi disertakan.

Pengalaman Penggunaan

Skrin peranti ini cukup terang dan cantik. Tetapi ia masih lagi LCD dan semua peranti Xiaomi, Redmi dan Poco dengan panel skrin ini mempunyai masalah bayang-bayang di dagu peranti dan juga kamera swafoto. Menggunakan peranti ini bagi sesetengah orang mungkin akan menjengkelkan, seperti saya sendiri. Tetapi sesetengah orang lain mungkin ada sahaja yang boleh diterima. Pada bawah cahaya matahari terik, skrin peranti sedikit sukar untuk dilihat tetapi untuk peranti dalam kelas ini ia boleh diterima. Apa yang menarik adalah, peranti ini mempunyai sokongan 120Hz yang mana cukup lancar dan pantas. Bagi yang ingin merasai pengalaman penggunaan skrin kadar segar semula setinggi 120Hz dan ingin jimat duit, ini peranti yang sesuai.

Ya, mungkin ada peranti lain boleh tawarkan skrin seperti itu pada harga lebih murah seperti Redmi Note 10 Pro. Tetapi cip pemprosesan main peranan di mana ia akan memberikan prestasi yang lebih hebat dan pengguna sukar untuk rasai masalah lengah masa. Snapdragon 860 yang digunakan pada peranti cukup hebat dan berkuasa. Bermain permua seperti Genshin Impact pada tetapan di tengah-tengah ia boleh bermain dengan lancar tanpa peranti memanas. Untuk permua yang grafik tinggi dan berat dijalankan pada peranti yang dijana dengan cip berasaskan cip peranti mercu dua tahun lepas – ini adalah cukup hebat.

Tidak lupa juga yang perisian adalah penting untuk pengalaman penggunaan yang lebih baik. MIUI 12 yang dijalankan pada peranti ini adalah MIUI for Poco yang mana adalah lebih mudah digunakan dan selesa. Ia mempunyai talam aplikasi, berasaskan Android 11 dan ada banyak ciri Android asli disertakan untuk merasai serba sedikit ciri yang seronok digunakan pada peranti Android asli. MIUI 12 yang digunakan adalah 12.1, yang mana lebih baru dari Mi 11 atau Redmi Note 10. Menariknya MIUI for Poco kali ini lebih dekat dengan MIUI versi China, yang mana lebih kurang sama dengan versi pada Mi 11. Jadi pengalaman MIUI pada peranti mercu dapat dirasakan pada peranti ini.

Kamera pada peranti ini adalah 48MP sahaja yang mana jika dibandingkan dengan X3 NFC, ia adalah turun taraf. Begitu juga dengan kamera sudut ultra lebar juga diubah dari 13MP ke 8MP. Dua kamera gimik, iaitu 2MP untuk makro dan kedalaman masih ada. Tetapi anda perlu ingat, saiz Megapixel bukan penentu kamera itu cantik atau berkualiti. Sebaliknya jenis sensor dan skil memainkan peranan. Dalam ujian ringkas, kamera peranti ini dilihat cukup baik. Tetapi ia masih perlu diuji untuk saya berikan penilaian akhir.

Banyak ciri dan fungsi menarik Poco masih kekalkan untuk menjadi peranti ini lebih berbaloi dimiliki. Contohnya, sensor infra merah yang masih disertakan, mempunyai sokongan NFC, port bicu audio 3.5mm dan untuk peranti sekitar RM1000 dengan pengecasan 33W adalah cukup memuaskan.

Kesimpulan

Peranti ini tidak dinafikan hebat sekali. Jika anda rasakan peranti Snapdragon 888 mahal dan Snapdragon 870 itu terhad kepada peranti yang anda tidak minat atau mungkin ada ciri dan fungsi yang anda tidak gunakan, peranti Snapdragon 860 ini adalah untuk anda. Cip pemproses ini berasaskan cip yang berusia dua tahun lepas, di mana peranti Android yang masih menggunakan cip Snapdragon 855+ sudah dihentikan pengeluaran, tiada kemaskini atau berada di tahun akhir. Dengan kembalinya cip ini, ia tekah diperbaharui dan peranti kelas pertengahan boleh menjadi lebih berkuasa.

Cip ini membuktikan yang ia masih boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Ujian ringkas juga memperlihatkan kemampuan bermain permua yang baik dan tidak memberikan sebarang masalah. Kamera bukan fokus utama, tetapi ia masih mempunyai kamera yang cukup baik dalam kategori peranti berharga sekitar RM1000. Untuk itu, jika anda ingin mencari sebuah peranti yang anda boleh menguji ciri dan fungsi MIUI, sebuah peranti yang ada sokongan kadar segar semula tinggi, bateri besar, skrin berlubang? kerana Poco F1 bertakuk – Poco X3 Pro adalah peranti untuk anda.

Dengan kata lain, jualan peranti ini yang bermula pada RM999 atau RM899 untuk promosi terhad – ia adalah peranti yang lengkap dari fungsi dan ciri asas sebuah peranti mercu tetapi ditawarkan kepada peranti kelas pertengahan.


Pro

  • Cukup berkuasa untuk tahun 2021 walaupun cip berasaskan peranti mercu dua tahun lepas
  • 120Hz yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih menarik
  • Harga jualan yang mampu milik

Kontra

  • Peranti sedikit berat berbanding pesaing
  • LCD yang tidak begitu cantik kerana ada bayang-bayang di dagu dan kamera
  • Kamera 48MP dan 8MP yang ditukar dari tetapan asal 64MP dan 13MP
Komen