Selain daripada membangunkan peranti pintar, siri televisyen dan juga kelengkapan rumah, Samsung juga terkenal untuk siri komputer riba mereka, walaupun ia tidak diperkenalkan di pasaran tempatan untuk masa yang lama.

Terkini, rekaan siri komputer riba terbaru Samsung, iaitu Samsung Galaxy Book Pro dan Samsung Galaxy Book Pro 360 baru-baru ini telah tertiris melalui sebuah ciapan oleh @_h0x0d_ di Twitter.
Dinobatkan sebagai pengganti kepada komputer riba Samsung Galaxy Book Ion, Galaxy Book Pro hadir dengan pilihan paparan 13 dan 15 inci dengan resolusi Full HD, dimana model Pro 360 hadir dengan paparan boleh sentuh dan boleh pusing 360 darjah yang juga hadir dengan sokongan S-Pen.

Dari segi cip pemprosesan pula, siri komputer riba ini nampaknya bakal hadir dengan pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake dengan pilihan GPU dalaman Iris Xe ataupun MX450.

Lebih menarik lagi, siri komputer riba Galaxy Book Pro ini hadir dengan teknologi penghantaran data Thunderbolt 4, dan menurut imej tirisan yang diperlihatkan, pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model dengan sokongan sambungan internet mudah-alih LTE untuk produktiviti atas-talian dari mana-mana sahaja.
Hadir dalam pilihan warna Navy dan Silver, Samsung buat masa ini masih belum mengesahkan lagi bilakah mereka akan mula memperkenalkan komputer riba ini. Kemungkinannya rendah, tetapi kami berharap Samsung akan pertimbangkan pelancaran siri komputer riba ini untuk pasaran tempatan.