Carian
Apple Bakal Menerima Saman Untuk Isu Papan Kekunci Butterfly Yang Membelenggu Sejumlah Besar MacBook
March 23, 2021 Nazrin

Isu papan kekunci butterfly untuk peranti Apple MacBook pada beberapa tahun lepas kini nampaknya terus menghantui Apple hingga ke hari ini. Mahkamah Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa Apple bakal disaman kerana penggunaan papan kekunci tersebut.

Menurut mahkamah, Apple mengetahui bahawa papan kekunci tersebut terus bermasalah walaupun mereka cuba memperbaikinya, sehinggalah mereka menukar semula papan kekunci tersebut pada kesemua siri komputer riba MacBook mereka pada tahun lepas.

Siri komputer riba MacBook 2015-2017, MacBook Pro 2016-2019, MacBook Air 2018-2019 semuanya dikenalpasti menghadapi masalah ini, dan Apple akan dikenakan class action lawsuit ataupun saman beramai-ramai kerana menggunakan papan kekunci ini.

Apple turut mencuba untuk membatalkan saman tersebut, tetapi pihak pendakwaan mengatakan bahawa apabila Apple tidak berjaya memperbaiki papan kekunci tersebut, mereka telah cuba menutup kelemahan-kelemahan papan kekunci ini, dan menidakkan isu-isu yang hadir walaupun ramai orang telah melaporkan kepada Apple mengenainya.

Melalui saman ini, Apple dijangka perlu membayar para pembeli komputer riba tersebut, walaupun buat masa ini, nilai pembayaran yang perlu dilakukan mereka masih tidak diketahui lagi. Apple telah menukar papan kekunci mereka pada penghujung 2019 setelah sedar bahawa sebarang penambahbaikan yang mereka cuba lakukan pada papan kekunci tersebut tidak berhasil.

Komen