Siri Vivo X60 akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pengguna di Malaysia. Ia merupakan pengganti kepada siri Vivo X50 yang dilancarkan tahun lalu dan hadir dengan sejumlah penambahbaikan menarik. Bagi yang berminat, Vivo X60 ditawarkan pada harga RM2,699, manakala Vivo X60 Pro pula berharga RM3,299.

Sesi pra-tempahan dibuka bermula hari ini sehingga 26 Mac 2021 dan setiap pembelian didatangkan dengan hadiah percuma menarik. Ia termasuklah – hadiah misteri percuma dan jaminan waranti tambahan serta pelindungan skrin selama satu tahun untuk pembelian Vivo X60. Kemudian, setiap pembelian Vivo X60 Pro pula didatangkan dengan beg premium dan jaminan waranti tambahan serta pelindungan skrin selama satu tahun untuk pembelian.

Vivo X60 dan Vivo X60 Pro membawakan sejumlah spesifikasi yang sama. Cuma bezanya pada kapasiti bateri, sokongan gimbal pada kamera dan binaan panel hadapan. Di mana, Vivo X60 menggunakan skrin sejenis rata, bateri berkapasiti 4,300mAh dan kamera tanpa sokongan gimbal. Sementara itu, Vivo X60 Pro pula dilengkapi paparan melengkung, bateri sebesar 4,200mAh dan kamera utama dengan sokongan gimbal.

Untuk spesifikasi khusus, kedua-duanya dilengkapi skrin bersaiz 6.56-inci AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Paparan ini juga menyokong pensijilan HDR10+ dan gamut warna DCI-P3. Selain daripada itu, kedua-duanya juga menggunakan cip pemproses Snapdragon 870, memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB.
Tetapan kamera utama terdiri dengan 48-Megapixel + 13-Megapixel + 13-Megapixel. Seterusnya, kamera hadapan pula sebesar 32-Megapixel. Spesifikasi lain – termasuklah port sambungan USB-C, Bluetooth 5.1, pengimbas cap jari pada skrin, antaramuka Funtouch OS 11.1 berasaskan Android 11 dan sebagainya.