Xiaomi Global sebelum ini telah menjadualkan sebuah acara pelancaran untuk produk baharu yang dijadualkan berlangsung pada 29 Mac 2021. Tapi sayangnya, jenama berkenaan tidak pula mendedahkan sebarang maklumat mengenai produk yang bakal dilancarkan ketika acara berkenaan.
Namun begitu, Xiaomi China kini dilihat telah memuat-naik hantaran di Weibo yang menarik perhatian ramai. Di mana, hantaran berkenaan mendedahkan bahawa Xiaomi Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra akan dilancarkan pada minggu hadapan iaitu tarikh yang sama dengan acara berkenaan.
Ini sekaligus seakan mengiyakan beberapa spekulasi tular sebelum ini – yang mengatakan Xiaomi berkemungkinan besar memperkenalkan beberapa peranti baharu di bawah siri Mi 11. Meskipun, tiada sebarang maklumat berkaitan pengenalan Xiaomi Mi 11 Lite yang dikongsi. Namun, terdapat pihak yang menyasarkan ia mungkin turut diperkenalkan pada acara berkenaan kelak.
Seperti Xiaomi Mi 11, kedua-dua peranti ini juga dipercayai hadir dengan cip Snapdragon 888. Kita juga boleh menyasarkan Xiaomi Mi 11 Ultra bakal tumpuan utama ketika acara pelancaran kelak. Ia akan menjadi peranti daripada Xiaomi yang disertakan dengan paparan sekunder pada panel belakang. Tidak ketinggalan, Xiaomi Mi 11 Pro juga tidak kurang menariknya – di mana, peranti ini dilaporkan hadir dengan sokongan zum 120X seperti yang terdapat pada Mi 10 Ultra.