Cari @ Amanz

Samsung memegang pasaran televisyen sejak 15 tahun yang lalu. Panel keluaran mereka terkenal dengan warna yang hidup dan imej yang tajam. Dalam dunia monitor PC pula, mereka sekadar di tempat ke lima di belakang nama besar seperti Dell, HP dan Lenovo. Tetapi dengan penawaran terkini mereka semalam, Samsung menggunakan strategi TV mereka untuk menguasai pasaran monitor PC pula.

Samsung melancarkan 12 monitor PC beresolusi tinggi di bawah siri S8, S7 dan S6. Siri S8 adalah yang paling premium dengan model S80UA 27″, S80A 32″ dan S80A 27″. Skrin rata hampir nirbingkai menyokong resolusi 4K, paparan lebih 1 bilion warna, sokongan HDR10 dan port USB terbina. Pada model S80UA, terdapat juga sokongan sambungan USB-C dengan pengecasan sehingga 90W. Skrin boleh diubah ketinggian, dongakan, diputar 90 darjah dan berpusing kiri atau kanan.

Seterusnya ialah siri S7 yang terdiri daripada model S70A 32″ dan S70A 27″. Ia juga menyokong resolusi 4K, 1 bilion warna, dan sokongan HDR10. Walau bagaimanapun ia tidak mempunyai port terbina dan tengkuk skrin yang boleh didongakkan sahaja. Seterusnya di bawah siri S7 ialah S65UA yang sebesar 34″ dengan resolusi UWQHD dengan nisbah 21:9. Sekali lagi terdapat sokongan HDR10, USB-C. LAN, port USB terbina dan juga skrin melengkung 1000R.

Model S6 S60UA 24″, S60UA 27″ dan S60UA 32″ dengan skrin rata QHD, HDR10, 1 bilion warna, sokongan USB-C 90W, hub USB, dan AMD FreeSync. Kesemua model ini mempunyai skrin yang bebas berputar seperti sir S8. Akhir sekali ialah tiga model S6 S60A 24″, S60A 27″ dan S60A 32″ yang hanya berbeza dengan siri S60UA kerana tiada sokongan USB-C sahaja. Pada waktu ini tarikh dan harga jualan kesemua skrin belum diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd