Siri Black Shark 4 telah dilancarkan hari ini. Ia adalah pengganti kepada Black Shark 3, 3 Pro dan 3S yang dilancarkan tahun lepas. Ia juga adalah pesaing kepada Asus ROG Phone 5. Disebabkan Qualcomm tidak melancarkan cip pemprosesan Snapdragon 888 versi “+” jadi Black Shark memilih cip Snapdragon 888 untuk versi Pro dan cip Snapdragon 870 yang sedikit lebih berkuasa dari 865+ pada Black Shark 4 biasa.

Black Shark 4 model asas amat menarik kerana menawarkan butang kawalan fizikal terbina dengan mekanisme pop-naik seperti Black Shark 3 Pro. Ia juga menggunakan sistem penyejukan baharu, skrin 6.67-inci AMOLED E4 144Hz dengan kadar sentuhan 720Hz dan kamera 48MP. Pembesar suara adalah stereo dan Black Shark turut memuatkan bateri berkapasiti 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W. Terkini, Black Shark Malaysia telah memaklumkan yang Black Shark 4 akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi.
Ini agak menarik kerana peranti Snapdragon 870 telah terbukti cukup berkuasa seperti yang digunakan pada Vivo X60 Pro. Kemudian model asas di China dijual pada harga bermula sekitar bawah RM1600, Black Shark 4 adalah peranti gaming sebenar yang mampu milik. Sama-sama kita nantikan pelancarannya tidak lama lagi.