Cari @ Amanz

OnePlus Watch Juga Dilancarkan Dengan Bateri Bertahan Sehingga 14 hari

Link Copied!

OnePlus Watch telah diumumkan semasa pelancaran siri OnePlus 9 sebentar tadi. Ini merupakan jam tangan pintar sulung dari OnePlus yang sudah mengacah pelancarannya sejak sekurang-kurangnya empat tahun yang lalu. Ia dilengkapi skrin 1.39″ AMOLED berbentuk bulat. Sekilas pandang ia amat mirip dengan Samsung Watch Active 2 kerana mempunyai tubuh bulat yang kemas dengan dua butang kawalan fizikal pada bahagian sisi.

Tubuh adalah sebesar 46mm diperbuat daripada logam tahan karat manakala tali pula diperbuat daripada silikon. Sebuah lagi versi lebih premium pula diperbuat dari kobalt, kaca nilam dan tali kulit turut ditawarkan. Kerana rekaan 46mm konvensional, pemilik bebas untuk menukar tali sedia ada dengan mana-mana tali jam biasa di pasaran sekarang.

Tiada maklumat mengenai cip pemproses tetapi ia hadir dengan storan 4GB yang membolehkan sehingga 500 lagu dimuatkan. Terdapat sensor pengecasan nadi dan juga kemampuan menjejak 110 aktiviti sukan secara automatik. Selain itu ia turut boleh mengesan tahap kepekatan oksigen dalam darah SpO2, menjejak tidur, menjejak tapak dan GPS secara terbina. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, OnePlus Watch tidak menggunakan WearOS.

Kekuatan sebenar terletak pada prestasi bateri yang boleh bertahan sehingga 14 hari. Pengecasan pantas membolehkan ia berfungsi selama seminggu selepas dicas selama 20 minit. kemampuan kalis air melepasi piawaian IP68. Dengan ini pengguna boleh memakainya ketika berenang.

Ciri menarik lain ialah ia boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh untuk kamera telefon pintar dan televisyen pintar OnePlus. Pengguna boleh mengawal televisyen dengan jam tangan pintar dan sekiranya pengguna tertidur ketika menonton TV, OnePlus akan mengesannya sebelum mematikan TV selepas 30 minit terlelap.

Harga jualannya OnePlus Watch Classic Edition ialah $159 (~RM654) seutas dalam warna Moonlight Silver dan Midnight Black. OnePlus Watch Cobalt Limited Edition pula belum diumumkan harganya pada waktu ini.


Komen ()