Cari @ Amanz

Selepas hadir dengan penawaran Amazfit T-Rex sekitar tahun lalu. Kini, jenama berkenaan dilihat memperkenalkan model yang dinaik-taraf untuk jam tangan berkenaan – dikenali sebagai Amazfit T-Rex Pro. Bagi yang berminat, ia ditawarkan pada harga RM659 untuk seutas dan boleh dipra-tempah bermula 24 Mac 2021 menerusi kedai atas talian rasmi Amazfit di Shopee.

Dari segi fizikaliti, ia masih membawakan rekaan yang sama seperti pendahulunya. Ia hadir dengan rekaan jam tangan bermuka bulat bersama tali yang menggunakan bahan berasaskan silikon lembut. Skrin yang digunakan bersaiz 1.3-inci AMOLED dengan resolusi 360 X 360 piksel dan dilengkapi fungsi Always On Display.

Antara penambahbaikan yang dibawakan untuk model kali ini adalah ia mempunyai kemampuan kalis air 10 ATM berbanding pendahulunya yang hanya menyokong sehingga 5ATM sahaja. Seterusnya, ia turut mempunyai sensor BioTracker 2 PPG yang mampu menjejaki kadar denyutan jantung dengan lebih tepat.

Dari segi fungsi, ia hadir dengan sejumlah sensor terbina seperti pengesan geomagnetik, barometer, accelerometer dan sensor cahaya ambien. Ia juga dilengkapi sehingga 100 mod sukan berbeza untuk kemudahan pengguna. Di samping itu, ia turut mempunyai bateri 390mAh yang boleh bertahan sehingga 18 hari untuk mod penggunaan biasa, 9 hari untuk penggunaan berat atau maksimum sehingga 40 hari dalam mod penjimatan bateri.

Spesifikasi lain termasuk bluetooth 5.0, GPS + GLONASS, sistem penilaian kesihan PAI, kawalan muzik, penggera dan sebagainya. Amazfit T-Rex Pro ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu – Meteorite Black, Desert Grey dan Steel Blue.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd