79 Mesin Melombong Kriptowang Bernilai RM237 Ribu Dirampas Oleh Pihak Berkuasa Kedah

79 Mesin Melombong Kriptowang Bernilai RM237 Ribu Dirampas Oleh Pihak Berkuasa Kedah

Diterbitkan pada Mac 24, 2021 oleh .

Perbuatan melombong kriptowang kini dilihat sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan paling cepat oleh pelbagai pihak. Sebelum ini terdapat beberapa pihak yang mencuri bekalan elektrik untuk melombong kriptowang tanpa perlu membayar bil api, dan telah ditangkap di seluruh Malaysia.

Terkini, Astro Awani telah melaporkan bahawa dua adik beradik di Kedah telah ditahan kerana disyaki diupah untuk menjual mesin-mesin melombong kriptowang yang dicuri. Adik-beradik ini ditahan oleh pihak polis di Sungai Kob, Kedah sewaktu rondaan pada petang Isnin yang lalu.

Setelah ditahan, polis menemui sebanyak 79 mesin melombong kriptowang yang bernilai sekitar RM237,000 didalam lori tersebut. Apabila disoal, mereka mengatakan bahawa mereka hanya diupah untuk menghantar mesin-mesin tersebut dari Sungai Kob ke Sungai Petani melalui satu panggilan telefon dan tidak mengetahui mengenai apa-apa butiran tentang mesin-mesin yang dibawa oleh mereka.

Tanpa dokumen sah, pihak PDRM Kulim mengatakan bahawa ia disyaki bahawa mesin-mesin melombong kriptowang ini adalah mesin yang dicuri dan kedua-dua adik beradik ini terlibat dalam percubaan untuk menjual barang yang dicuri, dimana mereka boleh disabit kesalahan dibawah Akta Kesalahan Kecil 1955 dimana mereka boleh dikenakan hukuman saman RM1000, penjara selama sebulan ataupun kedua-duanya sekali.


Paling Popular