Teka – teki mengenai jam tangan terkini ZTE akhirnya terjawab selepas syarikat berkenaan dilihat berkongsi lebih lanjut mengenainya dalam beberapa poster rasmi. Bukan sahaja reka bentuk fizikal, tetapi sejumlah spesifikasi utama padanya turut didedahkan.

Seperti yang diketahui, jam tangan berkenaan akan dikenali sebagai ZTE Watch GT kelak. Ia juga dilihat menampilkan rekaan klasik dengan muka jam bulat bersama dua butang fizikal pada bahagian sisi. Selain itu, ia juga dipadankan dengan tali jam yang diperbuat daripada bahan silikon lembut bersama beberapa pilihan warna menarik – seperti hitam, hijau, kelabu, kuning dan jingga. Skrin yang disertakan pula adalah sebesar 1.3-inci AMOLED dengan paparan bewarna. Paparan ini juga dilindungi dengan kaca 2.5D.

Dari segi fungsi, ianya akan menyokong sehingga 16 mod sukan berbeza untuk kemudahan pengguna. Ini termasuklah mod bola sepak khusus yag boleh menjejak prestasi pengguna ketika di padang secara masa nyata. Di samping itu, ia juga mempunyai sokongan sistem GPS terbina yang menjadikannya sesuai untuk aktiviti luar. Seperti biasa, segala penawaran lebih lanjut bakal terjawab ketika pelancaran rasmi yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan ini.