Carian
Qualcomm Snapdragon 780G Diumumkan – Cip Berkuasa Dengan Ciri Seakan Snapdragon 888
March 25, 2021 Fahim Zahar

Cip Pemprosesan Snapdragon siri-7 adalah cip peranti kelas pertengahan yang cukup berkuasa. Berdasarkan perhatian kami sendiri, sejak Snapdragon 765G dilancarkan, peranti yang dijana cip Snapdragon siri-7 pasti akan menarik minat orang ramai. Menurut Qualcomm, sejak cip siri-7 ini dilancarkan sudah lebih 350 peranti menggunakannya.

Terkini Qualcomm melancarkan cip siri-7 terbaru, Snapdragon 780G. Buat masa ini Qualcomm masih tidak mendedahkan butiran spesifikasi cip ini. Tetapi, menurut mereka cip ini menawarkan beberapa ciri premium seakan Snapdragon 888. Antaranya adalah penggunaan tiga ISP Spectra 570, menyokong Snapdragon Elite Gaming, FastConnect 6900 dan juga modem Snapdragon X53. Kebanyakan ciri ini disokong pada Snapdragon 888 tetapi lebih berkuasa seperti ISP yang digunakan adalah Spectra 580. Menurut Qualcomm, ciri premium SD888 turut patut boleh dialami oleh pengguna cip SD7xx.

Melalui cip ini, ia boleh menyokong rakaman zum, sudut lebar dan sudut ultra-lebar serentak, rakaman video HDR10+, serta rakaman 4K HDR dengan pasca-proses warna yang lebih baik. Untuk permua, ia boleh memaparkan grafik True 10-bit HDR dan tiada masalah menjalankan permua grafik tinggi. Dipadankan dengan FastConnect 6900 untuk sokongan rangkaian 5G sub-6GHz dengan kelajuan muat turun mencapai 3.3Gbps, WiFi 6E dan Bluetooth 5.2. Untuk audio teknologi Snapdragon Sound yang mana mempunyai Qualcomm Sensing Hub generasi baru untuk audio yang lebih baik.

Cip ini menggunakan Qualcomm AI Engine generasi ke-6 dan Hexagon 770 untuk penggunaan sistem kecerdasan buatan 2 kali lebih pantas dari generasi lama. Penggunaan kuasa untuk kecerdasan buatan juga lebih rendah bagi menjamin penjimatan bateri.

Cip ini akan dilancarkan pada suku kedua tahun 2021, iaitu bermula April. Antara peranti pertama yang mungkin akan menggunakan cip ini adalah Xiaomi. Peranti ini dikatakan adalah Mi 11 Lite yang sebelum ini pernah dilaporkan akan dijana dengan cip Snapdragon baharu. Sama-sama kita nantikan.

Komen