Cari @ Amanz

Bang & Olufsen Beoplay HX dilancarkan malam tadi sebagai sebuah lagi fon kepala nirwayar yang dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif (ANC). Rekaannya elegan dengan kemasan aluminium dan kulit yang memberikan imej aksesori mewah.

Dua pemandu audio Neodymium sebesar 40mm disertakan bersama dengan lapan mikrofon untuk melakukan panggilan audio dan menyokong sistem ANC. Tambatan adalah menerusi bluetooth 5.1 tetapi kabel 3.5mm sepanjang 1.2 meter disertakan bagi mereka yang inginkan sambungan secara berwayar. Dengan sekali caj ia boleh beroperasi sehingga 35 jam dengan ANC atau sehingga 40 jam tanpa ANC.

Codec yang disokong pula ialah aptX Adaptive, AAC dan SABC sahaja. Adalah mengecewakan fon kepala premium ini tidak menyokong LDAC. Seperti kesemua fon kepala nirwayar modem, terdapat butang untuk menyeru pembantu maya dan sistem kawalan sesentuh pada bahagian luar cawan telinga.

Aksesori tambahan lain ialah kabel USB-A ke USB-C, penyesuai dalam kapal terbang dan beg simpanan keras yang diperbuat daripada bahan fabrik. Sepasang Bang & Olufsen Beoplay HX dijual pada harga €499 (~RM2442) dalam warna Black Anthracite, Sand dan Timber.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd