Pembersih Hampagas Dyson V15 Ialah Pengganti Dyson V11 Dengan Sejumlah Ciri Baru

Pembersih Hampagas Dyson V15 Ialah Pengganti Dyson V11 Dengan Sejumlah Ciri Baru

Diterbitkan pada Mac 25, 2021 oleh .

Dyson ialah jenama teknologi UK yang terkenal untuk mesin pembersih hampagas mereka seperti Dyson V8, V10 dan V11. Terkini, syarikat tersebut telahpun memperkenalkan pengganti untuk model V11 mereka yang dinamakan Dyson V15.

Ia tidak diketahui mengapa Dyson mengambil keputusan untuk melompat tiga nombor model dan menggunakan terus nama Dyson V15. Dari segi rekaan, Dyson V15 dilihat hadir dengan rekaan yang sama seperti V11 sebelum ini, dimana ia mempunyai motor yang sama, dan rekaan kepala dan penuras habuk yang sama seperti sebelum ini.

Perbezaan ketara yang dapat dilihat pada Dyson V15 hadir melalui kepala penyedut baru mereka yang menggunakan sistem pencahayaan laser yang boleh digunakan untuk melihat arah yang anda sedang cuba bersihkan. Tetapi menurut Dyson, tugas utama cahaya laser ini ialah untuk menunjuk anda zarah habuk yang anda cuba untuk sedut.

Ini membawa kita kepada satu lagi ciri baru yang diperkenalkan pada Dyson V15, iaitu sensor piezoelektrik yang mengesan jenis-jenis habuk yang disedut masuk kedalam mesin penyedut ini. Dyson mengatakan bahawa dengan sensor baru ini, ia boleh mengesan habuk yang disedut sekecil 10 mikron.

Bercakap mengenai saiz habuk, Dyson V15 juga hadir dengan ciri anti-gumpalan dimana jika pembersih ini menyedut masuk segumpal habuk atau rambut yang besar, ia akan cuba mengurangkan gumpalan tersebut supaya ia tidak menyekat aliran udara mesin ini.

Panel LCD di bahagian atas V15 ini juga boleh menunjukkan jumlah habuk yang disedut sewaktu sesi pembersihan anda, dan juga menunjukkan jenis-jenis habuk yang disedut secara nyata. Ini cukup berguna jika anda ataupun ahli keluarga anda mempunyai alahan terhadap jenis-jenis habuk, supaya anda boleh lakukan apa yang diperlukan untuk mengurangkan kehadiran alergen tersebut.

Dyson V15 ini baru sahaja diperkenalkan di pasaran-pasaran terpilih seperti Amerika Syarikat bermula hari ini pada harga $700 (~RM2800) dengan kepala penyedut Detect. Menurut Dyson Malaysia, model V15 ini akan ditawarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi.


Paling Popular