Setelah membina setup gaming di rumah yang cukup berkuasa, satu lagi aksesori tambahan yang biasanya akan dipertimbangkan oleh gamer ialah kerusi untuk keselesaan berduduk untuk jangkamasa yang lama. Ada diantara mereka yang gemar menggunakan kerusi-kerusi pejabat, dan ada diantara mereka yang lebih gemarkan kerusi gaming.

Armaggeddon baru-baru ini telah menghantar kerusi gaming Starship VI mereka untuk kami uji. Di dalam ulasan ini, kami akan melihat sama ada ia mudah dipasang, selesa diduduki dan berbaloi dibeli untuk harga yang diminta.
Rekaan
Jika anda tanya pandangan jujur saya, rekaan kerusi gaming Armaggeddon Starship VI ini tidaklah jauh berbeza dengan rekaan kebanyakan kerusi gaming di luar sana. Kulit polyurethane (PU) tiruan digunakan untuk menutup span padat di bahagian tempat duduk dan belakang kerusi ini, dan ia menggunakan rekaan bucket seat yang dikatakan selesa diduduki walaupun untuk jangkamasa yang lama.
Bahagian rehat tangan kerusi Starship VI ini hadir dengan ciri pengubahsuaian 4D, dimana ia boleh diubahsuai ke kiri, kanan, depan, belakang, atas dan bawah bagi mereka yang cerewet tentang posisi tempat letak tangan mereka.

Selain daripada itu, anda juga boleh mengubahsuai ketinggian kerusi ini, dan merebahkan tempat rehat belakang sekitar 60 darjah untuk mereka yang ingin cuba untuk baring di atas kerusi ini.
Armaggeddon Starship VI ini hadir dengan empat pilihan warna, termasuklah Armaggeddon Yellow, Firestorm Red, Maldive Blue dan Midnight Grey. Corakan warna ini boleh dilihat di bahagian sisi dan logo Armaggeddon sendiri, dan warna keseluruhan kerusi ini adalah hitam.
Pemasangan Sendiri
Sama seperti kerusi-kerusi gaming yang lain, Starship VI hadir di dalam kotak padat dan perlu dipasang sendiri. Untuk ini, satu-satunya kelengkapan yang diperlukan ialah sebuah pemutar skru Allen Key yang disertakan bersama-sama dengan kerusi ini.

Kertas arahan yang disertakan turut menyenaraikan semua bahagian-bahagian kerusi ini menggunakan abjad, dan ini termasuklah skru-skru yang diperlukan untuk menggabungkan bahagian-bahagian ini.

Satu lagi aspek yang saya suka tentang memasang kerusi ini ialah skru-skru kerusi ini juga dilabel dan dipisahkan untuk memudahkan lagi proses pemasangan. Saya pernah memasang sebuah kerusi gaming sebelum ini dimana bahagian skrunya tidak dilabel langsung, dan ini menyebabkan saya terpaksa mencari-cari skru untuk dipasangkan ke dalam lubang yang betul.

Arahan pemasangan kerusi Starship VI ini juga agak mudah difahami, dan memasangnya juga tidaklah begitu sukar. Dari saat saya membuka kotak ini, membelek-belek isinya, dan memasang kerusi ini, saya mengambil masa sekitar dua jam untuk memasangnya semua.
Pemasangan kerusi ini boleh dilakukan berseorangan, tetapi pemasangan bahagian belakang dan tempat letak tangan lebih mudah dilakukan dengan lebih mudah jika ada seseorang untuk membantu anda. Selain daripada itu, semuanya cukup mudah untuk dilakukan sendiri.
Satu amaran yang saya perlu berikan kepada anda jika anda apabila memasang kerusi ini ialah untuk memastikan semua skru dipasangkan sebelum anda menutup lubang di sisi kerusi dengan penutup lubang yang diberikan.

Saya melakukan satu kesilapan dimana salah satu skru untuk bahagian belakang tidak dipasangkan. Saya tidak sedar mengenainya sehingga saya cuba duduk diatas kerusi ini dan sedar bahawa bahagian belakang tidak sekata apabila bersandar.

Apabila saya sedar akan kesilapan tersebut dan cuba untuk memasang skru tersebut, saya sedar bahawa penutup skru ini sangat sukar dibuka, dan ini memaksa saya untuk mencungkil penutup tersebut menggunakan pisau kecil.
Akibatnya ialah kesan calaran pada bahagian tepi tempat letak tangan kerusi ini selepas saya memasang skru terakhir tersebut.
Pengalaman Pengguna
Setelah saya siap pasang kerusi Starship VI ini, tibalah masanya untuk saya duduk dan mengalami sendiri jika berbaloi ataupun tidak untuk membeli dan membina sendiri kerusi gaming ini.

Jujur saya katakan apabila bercakap dari segi rekaan, kerusi Armaggeddon Starship VI ini tidaklah begitu berbeza berbanding dengan kerusi-kerusi gaming didalam kategori yang sama. Penggunaan kulit polyurethane “premium” ini juga melalui kajian ringkas yang saya lakukan bukanlah sesuatu yang unik dan memang digunakan oleh pelbagai jenama yang lain juga.

Dari segi keselesaan, penggunaan span padat untuk tempat duduk, dan digabungkan dengan penggunaan kulit polyurethane membuatkan kerusi ini agak selesa digunakan untuk satu jangkamasa. Tetapi anda dinasihatkan untuk sekurang-kurangnya bangun dan melakukan senaman regangan badan setiap satu ke dua jam untuk memastikan keselesaan optimum.


Ciri pengubahsuaian 4D pada bahagian tempat rehat tangan, dan kemampuan bahagian rehat belakang kerusi ini untuk diubahsuai sehingga 160 darjah dan pengubahsuaian ketinggian kerusi yang mudah semuanya juga adalah perkara yang baik.
Walaupun begitu, saya juga mempunyai sejumlah kritikan tentang kualiti binaan kerusi ini yang perlu diketengahkan.

Pertama ialah kerusi mempunyai isu henjutan yang jelas dapat dilihat dan dirasai apabila anda duduk diatasnya. Pada mulanya saya ingat bahawa bahagian tempat duduk ini diletakkan diatas tapak secara salah. Ia paling dirasai apabila peha anda menekan bahagian hadapan tempat duduk kerusi ini dan mengunjur ke hadapan.
Tetapi setelah beberapa kali saya cuba untuk memuatkan tempat duduk ini semula, saya hanya boleh menyimpulkan bahawa “henjutan” ini adalah sebahagian daripada “ciri” kerusi ini, sama ada anda suka ataupun tidak.

Satu lagi aspek yang saya tidak begitu gemari mengenai kerusi ini ialah kedua-dua tempat letak tangan yang longgar. Ya, anda boleh mengubahsuai kedudukan tempat letak tangan ini termasuklah juga dengan ketinggiannya, tetapi pada hemat saya, semua itu hampir tidak bermakna jika tempat letak tangan berasa sangat longgar apabila anda meletakkan lengan anda diatasnya.
Berbaloikah Membelinya?
Pada harga RM999, ia agak sukar untuk saya mengesyorkan orang ramai untuk membeli kerusi ini. Di pasaran tempatan, terdapat pelbagai lagi jenama kerusi gaming lain yang tampil dengan rekaan dan ciri-ciri sama pada tanda harga yang lebih mampu-milik.
Ciri letak tangan 4D mungkin boleh dikatakan diantara titik penjualan utama untuk kerusi Armaggeddon Starship VI ini, tetapi dari segi rekaan keseluruhan dan juga keselesaan kerusi ini, ia tidak jauh di hadapan jenama-jenama lain dengan tanda harga beberapa ratus ringgi lebih murah.
Apabila saya menanyakan rakan-rakan sekerja saya mengenai kerusi ini, pendapat kami rata-ratanya ialah mereka hanya akan membeli kerusi ini pada harga jualan ini jika mereka adalah peminat jenama Armaggeddon.
Penutup
Kerusi gaming Armaggeddon Starship VI ini hadir dengan sejumlah warna lain selain daripada gabungan kuning dan hitam yang mungkin akan lebih menggamit hati anda apabila anda melayari kedai atas talian Armaggeddon.

Pada harga RM999, kerusi gaming ini adalah terlalu mahal apabila saya mengambil kira keselesaan, fungsi dan kualiti binaan yang ditawarkan oleh Armaggeddon. Pada hemat saya, kerusi ini lebih berbaloi didapati sekiranya ada diskaun yang agak besar untuknya.
Pro:
- Arahan memasang mudah difahami
- Bahagian-bahagian kerusi dilabel dengan baik
- Fungsi tempat letak tangan 4D
Kontra:
- Harga
- Kualiti binaan
- Keselesaan
