Cari @ Amanz

Dua tahun lalu Sigma fp dilancarkan sebagai kamera nircermin dengan sensor bingkai-penuh paling kecil serta ringan di dunia. Hari ini Sigma fp L dilancarkan pula dengan sensor yang hampir tiga kali ganda lebih besar tetapi mengekalkan saiz asal model terdahulu.

Sigma fp L dilengkapi sensor bingkai-penuh sebesar 61MP – peningkatan dari sensor asal 24.6MP model terdahulu. Ia direka untuk digunakan bersama lensa Sigma dan Leica menerusi cagak L-Mount. Gambar boleh ditangkap berterusan sehingga 10 bingkai sesaat. Video pula boleh dirakam pada tetapan maksimum 4K (3,840 x 2,160 pixel) sehingga 30 FPS dalam format CinemaDNG 12-bit, Blackmagic RAW dan ProRes RAW.

Kesemua fungsi kamera boleh diakses menggunakan sebuah skrin LCD 3.15″ pada panel belakang. Terdapat aksesori EVF tambahan dengan skrin 0.5″ OLED 3.68 juta titik. Terdapat port USB-C untuk memindahkan data atau menyambungkannya kepada sumber kuasa luaran termasuk powerbank.

Tubuhnya kekal kompak 112.6 x 69.9 x 45.3 mm tetapi dengan berat 375 gram, hanya 5 gram lebih berat berbanding generasi pertama. Di Amerika Syarikat Sigma fp L dijual pada harga $2,499 (~RM10,362) atau $2,999 (~RM12,435) dengan EVF tambahan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd