Bercakap mengenai iQOO, ini merupakan sub-jenama daripada vivo yang sering menghasilkan peranti memfokuskan kepada permainan mudah-alih (permua). Dalam perkembangan terkini, mereka dilihat hadir dengan satu lagi peranti permua mampu milik baharu menerusi iQOO Z3. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja.

Dari segi rekaan, ia mengambil sepenuhnya elemen rekaan pada Vivo Y52s yang dilancarkan di Thailand sebelum ini. Untuk spesifikasi khusus, ia dilengkapi skrin bersaiz 6.58-inci LCD FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Seterusnya, ia juga menggunakan cip Snapdragon 768G, GPU Adreno 620, memori sehingga 8GB RAM (LPDDR4X), storan dalaman sehingga 256GB (UFS 2.2) dan bateri 4,400mAh dengan pengecasan pantas 55W.
Tetapan kamera utama terdiri dengan 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel (ultra-lebar) + 2-Megapixel (makro) dan kamera swafoto pula adalah 16-Megapixel. Untuk harga, ia ditawarkan di China bermula RMB1,699 (~RM1,076) untuk sebuah.