Snapdragon 480 merupakan cip pemproses dengan binaan 8nm yang dilengkapi sokongan 5G secara terbina. Pada awalnya, Vivo merupakan jenama terawal yang hadir dengan peranti bersama janaan cip berkenaan. Kemudian, diikuti pula oleh Oppo, iQOO dan paling terkini adalah Motorola.
Melaluinya, Motorola telah memperkenalkan model Moto G50. Peranti pintar ini dilengkapi skrin bersaiz 6.5-inci Max Vision HD+ dengan resolusi HD+. Selain daripada cip Snapdragon 480, ia juga menggunakan memori 4GB RAM, storan dalaman sehingga 128GB dan bateri berkapasiti 5000mAh dengan pengecasan 10W.
Dari segi penggambaran, Moto G50 disertakan tetapan kamera utama 48-Megapixel + 2-Megapixel + 2-Megapixel dan kamera swafoto pula sebesar 13-Megapixel. Spesifikasi lain termasuklah – port sambungan USB-C, Bluetooth 5.0, Android 11, dua variasi pilihan warna – Steel Grey atau Aqua Green dan sebagainya. Buat masa ini, Moto G50 hanya ditawarkan untuk pasaran Eropah terlebih dahulu dengan tanda harga bermula €249.99 (~RM1220).