Tahun lepas diambang pandemik COVID, program pemecut Alpha Startups yang diadakan secara tahunan tetap terus dijalankan secara digital dan mendapat perhatian ramai. Kini meneruskan dalam norma baru, program pemecut ini akan menawarkan sehingga RM 50,000 untuk dua pasukan teratas pada tahun ini.

Program pemecut Alpha Startups merupakan program bagi mempercepat pertumbuhan startup dan sesuai untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan dan kurang pengalaman dalam dunia startup. Program selama 5 minggu ini sedikit sebanyak akan mendedahkan startup dengan terma-terma khusus, bagaimana menganalisa data, mengetahui model bisnes yang bersesuaian, dan bermacam lagi.
Mengekalkan tradisi tahun lalu, kesemua program ini akan dilakukan secara maya, termasuklah seminar maya, telesidang khidmat nasihat, dan juga penawaran modul dan perkongsian bagi mereka yang ingin membentangkan projek mereka dalam Bahasa Malaysia.

Pada tahun lepas, program Alpha Startups ini menerima 250 permohonan dan 156 pasukan diterima kedalam program. Selepas 5 minggu, 15 pasukan telah membentangkan kepada bakal pelabur, dan dua pasukan teratas iaitu Blueduck & Nanobar telah menjuarai program ini, dan menerima dana RM 20,000 untuk setiap pasukan.
Untuk tahun ini, startup yang terpilih untuk menyertai program ini akan menerima kredit digital USD 5,000 yang boleh digunakan menerusi perkhidmatan rakan kerjasama seperti AWS & AirTable serta iTrain Asia. Pasukan teratas pula bakal menerima program bimbingan selama 6 bulan, ruang pejabat, dan akses kepada industri. Dua pasukan terbaik akan menerima dana sehingga RM 50,000 untuk setiap satu, dan jumlah ini lebih tinggi dari jumlah yang ditawarkan sebelum ini.

Syarat penyertaan adalah startup ini haruslah mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengasas tempatan, atau berpangkalan di Malaysia, atau berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan mereka untuk pasaran Malaysia.
Program ini akan bermula pada 13 April 2021, dan setiap pasukan/peserta yang terpilih perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya untuk dua hari setiap minggu, selama lima minggu, dengan pembentangan secara maya akan dilakukan pada 22 Mei 2021. Penyertaan akan ditutup pada 2 April jadi buat anda yang ada idea, atau sudah memulakan startup tetapi perlukan pecutan bagi menggalakkan pertumbuhan anda, program Alpha Startup merupakan program yang wajib anda sertai.