Kajian Mendapati Telefon Pintar Berkongsi Data Peribadi Pengguna Setiap 4.5 Minit

Kajian Mendapati Telefon Pintar Berkongsi Data Peribadi Pengguna Setiap 4.5 Minit

Diterbitkan pada Mac 29, 2021 oleh .

Pengguna semakin peduli tentang bagaimana data peribadi mereka dikumpul sebelum digunakan untuk pengiklanan oleh pengeluar dan aplikasi yang dimuatturun. Kesemuanya adalah impak daripada skandal Cambridge Analytica tiga tahun yang lalu. Tetapi sejauh manakah kekerapan data peribadi anda dihantar kepada pengeluar peranti?

Menurut kajian Trinity College Dublin yang diterbitkan di The Irish Times, telefon pintar menghantar maklumat peribadi pemilik kepada pengeluar setiap 4.5 minit. Antara data yang dikongsi ialah apabila SIM dimasukkan, nombor siri, IMEI, alamat MAC WiFi dan nombor telefon. Pada peranti Pixel, 1MB dihantar kepada Google setiap 12 jam. Pada iPhone pula 52KB data dihantar ke Apple dalam jangka masa yang sama. Pada kedua-dua sistem operasi, pengguna tidak diberikan kuasa untuk menghalang data ini dari dikumpul.

Walaupun data dikumpul lebih kecil pada iPhone, ia masih meragukan kerana Apple turut mengumpul maklumat mengenai peranti berdekatan dan alamat MAC Wifi mereka. Penyelidik mengatakan tiada sebab data-data ini diambil selepas proses pengaktifan peranti untuk kali pertama serta penjejakan masih dilakukan oleh Apple walaupun mereka terkenal dengan kempen peranti mereka menghormati privasi.

Google telah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa pengumpulan data ini perlu untuk telefon pintar berfungsi dengan baik bagi memastikan sistem operasi dan aplikasi sentiasa dikemaskini. Apple pula masih belum memberikan sebarang komen.


Paling Popular