Seperti yang kita tahu, Realme sedia hadir dengan penawaran pelbagai jenis siri untuk rangkaian telefon pintar mereka. Ia termasuklah siri Realme V yang mana eksklusif untuk pasaran China. Setelah lebih kurang dua bulan memperkenalkan Realme V15, kini mereka dalam perancangan untuk mengumumkan sebuah lagi model baharu di bawah siri yang sama.

Model yang dimaksudkan adalah Realme V13 5G dan ia dijangka tiba secara rasmi pada penghujung bulan ini. Dari segi rekaan, ia dilihat menginspirasikan gabungan kemasan daripada Realme V15 dan Realme V11 sebelum ini. Panel hadapannya menggunakan rekaan skrin berlubang hanya untuk memposisikan kamera sahaja. Sementara itu, panel belakang pula memperlihatkan modul kamera berbentuk segi empat.

Untuk spesifikasi, Realme V13 5G disahkan akan hadir dengan skrin 90Hz, bateri 5000mAh, storan dalaman 256GB dan pengimbas cap jari sisi. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi port sambungan USB-C dan didatangkan dengan dua variasi warna berbeza seperti hitam dan biru. Tidak ketinggalan, ia juga dikatakan akan menjadi sebuah lagi peranti daripada Realme dengan janaan Cip MediaTek Dimensity 700 – seperti yang terdapat pada Realme V11.