Xiaomi Mi 11i Diperkenalkan – Poco F3 Dengan Snapdragon 888 Dan Kamera 108MP

Diterbitkan pada Mac 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Xiaomi sering terkenal dengan penjualan peranti pada harga mampu milik. Tetapi peranti mercu mereka semakin lama semakin mahal, lihat sahaja Mi 11 Ultra yang mencapai lebih RM4K. Ya benar, ia lebih berbaloi dengan pesaing – tetapi bukan untuk semua orang. Oleh yang demikian banyak model dan variasi ditawarkan dengan spesifikasi lebih kurang sama.

Terkini, Xiaomi melancarkan Xiaomi Mi 11i yang mana menggunakan rekaan Redmi K40 atau Poco F3. Tiada beza ketara dari segi rekaan, tetapi cip Snapdragon 870 telah diubah dengan Snapdragon 888. Skrin masih sama 6.67-inci AMOLED DotDisplay dengan sokongan HDR10+, 120Hz, kecerahan 1300 nits dan juga dijana cip Snapdragon 888. Tidak lupa kepada memori yang terhad kepada 8GB RAM dan storan dalaman yang mencapai 256GB. Kamera adalah 108+8+5 Megapixel dengan kamera swafoto 20 Megapixel, yang mana menyokong banyak mod menarik baru.

Pembesar suara adalah stereo, menyokong Bluetooth 5.1 dan NFC turut dikekalkan. Bateri adalah sama dengan kapasiti 4520mAh, tetapi sistem pengecasan pantas adalah 33W Pro yang sedikit lebih pantas dari 33W biasa. Untuk sekuriti pengimbas cap jari di sisi disertakan. Agak aneh, panel AMOLED menggunakan pengimbas cap jari ini. Tetapi seperti Redmi Note 10, ia adalah untuk rekaan yang nipis, premium dan juga nyahkunci yang lebih pantas. Tidak lupa juga yang peranti ini sama dengan Redmi K40, jadi skrin adalah setaraf peranti mercu mewah dengan skor A+ oleh DisplayMate.

Peranti pula menjalankan MIUI 12 dengan Android 11. Xiaomi menawarkan tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan perak. Harga jualan adalah 649 Euro dan 699 Euro untuk 8/128 GB dan 8/256 GB. Tiada pengesahan bila ia akan tiba ke pasaran Malaysia, tetapi agak menarik jika ini adalah Poco F3 Pro. Jika ubah mata wang Euro ke RM ia adalah sekitar RM3170 – RM3414, selepas tolak VAT iaitu cukai tinggi mereka – harga adalah sekitar RM2500 RM2696.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami