Cari @ Amanz

Pada acara hari ini, Xiaomi turut mengumumkan kehadiran penawaran baharu untuk rangkaian komputer riba mereka. Dikenali sebagai Xiaomi Mi Laptop Pro, siri ini hadir dengan tersedia dalam dua variasi berbeza sebagai pilihan buat pengguna. Kedua-duanya variasi membawakan spesifikasi yang hampir sama tetapi dengan saiz dan resolusi paparan yang berbeza.

Di mana, Mi Laptop Pro 14″ menyokong skrin LCD dengan resolusi 2.5K dan kadar segar semula 120Hz. Sementara itu Mi Laptop Pro 15″ pula dilengkapi paparan OLED dengan resolusi 3.5K. Namun begitu, kedua-duanya dilengkapi sejumlah sokongan ciri tambahan yang sama seperti sokongan untuk gamut warna sRGB 100% dengan kecerahan 600nits dan nisbah skrin-ke-badan mencecah 93%.

Seterusnya, penawaran spesifikasi dalaman juga sama menerusi sokongan cip Intel Core generasi ke-11 dengan paduan GPU NVIDIA GeForce MX450. Spesifikasi lain termasuklah sokongan bateri dengan pengecasan 100W, sistem penyejukan lebih baik, Wi-Fi 6, Thunderbolt 4 dan sokongan pembantu maya XiaoAi.

Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan diameter sekitar 15.6mm dan berat 1.5kg – secara tidak langsung menjadikannya salah sebuah komputer riba yang menepati kriteria nipis dan ringan. Harga jualan untuk Mi Laptop Pro 14″ bermula RMB5299 (~RM3344) , manakala Mi Laptop Pro 15″ pula berharga RMB6499 (~RM4101).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd