Xiaomi baru sahaja melancarkan Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra hari ini. Ia adalah peranti Mi 11 yang lebih Pro dengan sensor kamera baharu 108MP GN2 dari Samsung dan pada Ultra ada skrin sekunder. Sistem tri-kamera digunakan pada Pro dan Ultra, tetapi Ultra adalah 108+48+48 Megapixel dan Mi 11 Pro terhad kepada 108+13+8 Megapixel sahaja.
Jarang sekali Xiaomi tidak sertakan sensor kamera gimik pada peranti mercu mereka dan kali ini pada Ultra mereka benar-benar ingin menjadi peranti dengan kamera terhebat. Berdasarkan acara pelancaran dan sampel gambar diperlihatkan, hasilnya sungguh menakjubkan. Oleh yang demikian, DXOMark telah memberikan skor 143 pada peranti ini. 148 pada fotografi, 100 pada zum dan 117 pada videografi.

DXOMark masih tidak jelaskan kenapa skor tinggi diberikan ketika artikel ini ditulis. Tetapi agak hebat untuk melihat akhirnya Xiaomi berada di senarai teratas menandingi Huawei Mate 40 Pro+.