Seruan “Hey, Google” Akan Lebih Tepat Melalui Pembelejaran Mesin Baharu

Seruan “Hey, Google” Akan Lebih Tepat Melalui Pembelejaran Mesin Baharu

Diterbitkan pada Mac 30, 2021 oleh .

Google Assistant adalah pembantu digital Google yang sangat pintar. Hampir setiap hari saya menggunakannya, baik menyeru “Hey, Google”, tekan butang kuasa, tatal dari bucu bawah skrin atau membuka aplikasi Google terus. Google Assistant mampu membantu tugasan harian pengguna dengan mudah seperti mengawal peranti berhubung, memberi peringatan trafik, cuaca dan banyak lagi.

Tetapi, seruan “Hey, Google” masih ada masalah. Walaupun ia boleh mengenali suara pengguna, tetapi kadangkala pengguna lain turut boleh menyeru Google Assistant pada akaun atau peranti lain. Ini menjadikan Google Assistant sedikit kurang selamat dari segi privasi seperti orang lain mudah akses mesej, notifikasi dan sebagainya. Dalam penggunaan saya, dengan suara yang tidak terlalu kuat Google boleh cam suara saya tetapi ia masih boleh cam suara rakan saya pula jika diseru dengan kuat.

Untuk mengelak hal ini, Google mula melatih Google Assistant untuk memahami suara siapa dan mengenalpasti suara siapa yang menyeru. Latihan ini sebelum ini adalah melalui pelayan Google dan sejak Pixel 4 Google mula melatih melalui dari dalam peranti. Dengan cip pemprosesan yang semakin hebat dan berkuasa, banyak cip NPU mula menyokong latihan dari dalam peranti. Oleh itu, seruan Hey, Google juga akan dilatih dari dalam peranti pengguna masing-masing.

Dengan latihan dari dalam peranti, Google akan menyimpan 20 rakaman suara sehari termasuk informasi pengguna, data tetapan peranti dan data keputusan kejayaan Google Assistant berinteraksi dengan pengguna. Pembelajaran mesin ini dinamakan sebagai federated learning, yang mana turut akan membantu mengelak Google Assistant yang aktif secara tidak sengaja atau apabila diseru tiada maklum balas.

Google Assistant

Google akan simpan data pengguna selama 63 hari sahaja, selepas itu ia akan dipadam. Tetapi pengguna boleh padam sendiri jika skeptikal dengan sekuriti dan privasi pengguna. Walaupun pembelajaran ini adalah dari dalam peranti, semua perubahan yang berlaku akan dihantar ke pelayan Google untuk diselarikan terus.


Paling Popular