Cari @ Amanz

Cooler Master ialah jenama aksesori dan kelengkapan PC yang cukup terkenal sekali di seluruh dunia. Mereka hadir dengan pelbagai kelengkapan PC seperti rangka, kipas, bekalan kuasa dan aksesori-aksesori PC juga.

Terkini, Cooler Master Malaysia mengumumkan bahawa mereka telah membawa masuk papan kekunci nirwayar Cooler Master SK622, iaitu sebuah papan kekunci bersaiz 60% ke pasaran tempatan.

Papan kekunci SK622 ini hadir dengan rangka aluminum dan menggunakan suis kekunci berprofil rendah merah, biru dan coklat bergantung kepada keinginan pengguna. Profil rendah ini biasanya digemari oleh gamer-gamer yang inginkan kekunci yang boleh diaktifkan dengan lebih cepat untuk memasukkan input dengan pantas.

Walaupun papan kekunci ini mempunyai saiz 60%, ia bukanlah susun-atur 60% yang biasa. Ia mempunyai kekunci panah yang memudahkan pergerakan kursor yang sangat berguna khususnya jika anda juga menggunakan papan kekunci untuk menaip laporan dan sebagainya juga.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, papan kekunci SK622 ini juga hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar menggunakan teknologi Bluetooth. Ia hadir dengan bateri bersaiz 4000mAH dan boleh disambungkan ke tiga peranti berbeza sekaligus.

Selain daripada pencahayaan RGB, papan kekunci ini juga hadir dengan kekunci macro yang boleh diubahsuai menggunakan perisian MasterPlus+ yang boleh dimuat-turun melalui laman web Cooler Master.

Dari segi warna papan, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan warna Space Grey dan Silver White. Menurut Cooler Master Malaysia, papan kekunci CM SK622 ini sudahpun ditawarkan di pasaran pada harga RM439.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd