OnePlus Nord adalah peranti kelas pertengahan OnePlus yang diminati orang ramai. Ini kerana mereka cuba menawarkan pengalaman penggunaan seakan peranti mercu, melalui skrin kadar segar semula 90Hz dan juga Oxygen OS. Tidak lupa juga dengan spesifikasi kamera yang lebih kurang sama dengan OnePlus 8. Cip pula adalah Snapdragon 765G yang mana cukup berkuasa.
Walaupun Nord bukanlah peranti kelas pertenagahan terbaik, OnePlus tetap serius dengan siri Nord dengan melancarkan Nord N10 dan juga N100. Nord N10 turut memasuki pasaran temnpatan bagi bersaing dengan peranti kelas pertengahan lain. Tahun lepas, OnePlus dikatakan akan hadir dengan OnePlus Nord SE yang mana pada awalnya dijangka adalah peranti baru. Tetapi ia hanyalah OnePlus Nord biasa yang istimewa dengan rekaan dari pereka terkenal. Terkini, Max Jambor selaku peniris terkenal telah menyatakan yang OnePlus Nord SE telah dibatalkan.
Sebab yang jelas tidak didedahkan, tetapi besar kemungkinan adalah OnePlus ingin mempercepatkan pelancaran peranti dengan kod nama Denniz. Peranti ini dikatakan adalah OnePlus Nord 2 yang mungkin akan dijana dengan cip Snapdragon 780G. Jika benar ini adalah peranti tersebut, OnePlus Nord 2 akan bersaing dengan Xiaomi Mi 11 Lite 5G.
Menurut Max, OnePlus sudah berbulan membangunkan peranti ini dan pelancarannya mungkin akan tiba kurang dari lima bulan. Tahun lepas, Nord dilancarkan pada bulan Julai – mungkin kita akan lihat kehadiran peranti ini seawal Jun? Sama-sama kita nantikan.