Di hari kedua acara pelancaran produk mereka, Xiaomi Mi MIX Fold kini akhirnya telah diperlihatkan secara rasmi. Ia merupakan peranti skrin boleh-lipat pertama keluaran Xiaomi dengan sistem lensa kamera cecair yang juga julung kalinya digunakan pada sebuah telefon pintar. Ia juga menandakan kembalinya siri Mi MIX selepas dua tahun tidak dihasilkan.
Dari segi rekaan Mi MIX Fold mempunyai rekaan yang mirip dengan Galaxy Z Fold2 dan Mate X2. Dengan rekaan skrin dibuka keluar ini, skrin boleh-lipat akan lebih terlindung dari sebarang kerosakan. Terdapat sebuah skrin sekunder di bahagian luar juga bagi membolehkan peranti masih digunakan tanpa perlu dibuka terlebih dahulu.
Menurut Xiaomi, skrin Mi MIX Fold adalah sebesar 8.01″ WQHD+ dan bernisbah 4:3 apabila di posisi terbuka. Ia juga adalah dari jenis AMOLED dengan sokongan Dolby Vision dan HDR10+ secara serentak. Tiada lubang kamera diletakkan pada skrin boleh lipat maka keseluruhan skrin bolah digunakan tanpa sebarang halangan. Skrin luaran pula sebesar 6.52″ FHD+ 90Hz yang juga dari keluarga AMOLED yang menyokong Dolby Vision.
Selain mempunyai skrin yang lebih besar, Xiaomi menyertakan Mod PC yang membolehkan paparan berubah menjadi seperti sebuah komputer. Ini diaktifkan dengan menatal skrin menggunakan tiga jari. Selain itu sokongan lebih dari satu aplikasi serta ciri drag and drop antara tetingkap juga disokong.
Melengkapi spesifikasi ialah cip Snapdragon 888, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri sebesar 5020 mAh yang dibahagi dua. Pengecasan pantas berwayar sehingga 67W disokong tetapi tiada sokonga pengecasan nirwayar. Ini adalah sama seperti sistem yang disokong pada Mi 11 Ultra yang dilancarkan semalam.
Kamera pula menggabungkan sensor 108MP sudut lebar, 13MP ultra sudut lebar, 8MP telefoto dan 8MP makro. Sementara itu kamera swafoto pula menggunakan sensor 20MP. Pengguna boleh melakukan rakaman video sehingga 8K 24p. Sebenarnya lensa telefoto sehingga 30X zum dan makro menggunakan sensor 8MP yang sama. Ini mampu dilakukan kerana penggunaan lensa cecair pertama pada telefon pintar.
Mekanisme engsel pada Mi MIX Fold telah diuji untuk tahan digunakan sehingga 1 juta kali sepanjang hayatnya. Tetapi kerana engsel yang sama peranti tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis air. Selain itu ia juga telefon pintar pertama dengan sistem audio empat pembesar suara yang ditala oleh Harman Kardon untuk pengelaman audio terbaik.
Di China, Xiaomi Mi MIX Fold dijual pada harga RMB 9999 (~RM 6300) untuk versi 12/256GB, RMB 10,999 (~RM 6947) untuk versi 12/512GB dan RMB 12999 (~RM8210) untuk versi 6/512GB dengan panel belakang seramik.