Cari @ Amanz

Membersihkan lantai rumah ialah antara aktiviti yang kami lakukan setiap hujung minggu. Mesin penyedut hampagas akan ditarik ke seluruh rumah bagi membasmi debu. Tetapi kami sedari semakin ramai menggunakan robot penyedut hampagas di rumah yang membersihkan rumah setiap hari.

Bagi yang mencari produk terkini, Xiaomi Mi Robot Vacuum Pro telah diumumkan sebentar tadi. Yang menjadikannya Pro ialah penggunaan kamera 3D ToF dan kamera RGB pada bahagian hadapan. Dengan “mata” ini ia boleh mengelak pelbagai halangan di rumah seperti permaidani, kabel elektrik dan kaki meja misalnya.

Dengan kamera 3D ToF, proses mengenali halangan dilakukan lebih pantas berbanding sistem laser pada Mi Robot Vacuum versi terdahulu.Bagi memudahkan ia beroperasi tanpa campur tangan manusia, robot ini dijana oleh cip dengan empat teras CPU dan 2 teras NPU. Pemproses juga mampu mengenali permukaan yang cuba dibersihkan sebelum melaras kekuatan motor yang menyedut kotoran.

Selain membersihkan lantai, Mi Robot Vacuum Pro juga boleh mengemop lantai secara automatik. Menerusi aplikasi terkini, ia juga boleh melabel kawasan rumah secara automatik menerusi pembelajaran mesin. Maka pengguna tidak perlu melabel setiap ruang rumah secara manual lagi.

Akhir sekali robot dilengkapi bateri sebesar 5200 mAh, ruang tempat simpanan sampah berkapasiti 500 ML dan kuasa sedutan sehingga 4000Pa. Di China Xiaomi Mi Robot Vacuum Pro dijual pada harga RMB 2999 (~RM1894) sebuah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd