Dengan Google Maps tiada lagi keperluan menghafal jalan yang rumit atau kaget apabila jalan yang biasa dilalui ditutup. Penggunaan aplikasi GPS sudah menjadi lumrah harian tetapi ia masih boleh diperbaiki. Oleh itu Google Maps memperkenalkan beberapa ciri baharu yang akan memudahkan perjalanan pengguna setiap hari.
Ciri pertama ialah sokongan navigasi menggunakan realiti terimbuh (AR) dalam bangunan pula selepas ia diberikan untuk navigasi luaran dua tahun lalu. Pada waktu Google akan memberikan perhatian kepada navigasi AR dalam pusat membeli belah, lapangan terbang dan hab pengangkutan untuk memudahkan pengguna mencari lokasi yang ingin dicari dalam bangunan bertingkat. Ia akan terlebih dahulu disokong di beberapa bandar di Amerika Syarikat, Tokyo dan Zurich.
Seterusnya ialah saranan perjalanan yang akan mengurangkan pencemaran udara. Navigasi juga akan memberitahu bahawa jalan yang ingin dilalui hanya membenarkan kenderaan emisi rendah. Zon emisi rendah sudahpun mula diwujudkan di bandaraya seperti Amsterdam dan Jakarta. Pengguna juga boleh melakukan pilihan untuk hanya menggunakan saranan pengangkutan hijau dari menu Google Maps selepas ini.
Google Maps juga akan memberikan saranan perjalanan dalam zon kualiti udara yang sihat sahaja. Ini adalah penting bagi mereka yang ingin berjalan kaki, mengayuh basikal dan menyewa skuter elektrik. Dengan saranan ini tiada isu perlu meredah kawasan yang kualiti udara yang akan mendatangkan impak terhadap kesihatan.
Akhir sekali turut diperkenalkan ialah pilihan untuk membeli makanan menerusi aplikasi sebelum memberikan arahan ia akan diambil sendiri dalam perjalanan pulang. Ciri ditambah kerana sepanjang pandemik membeli makanan di restoran untuk makan di rumah mula menjadi norma harian. Pada waktu ini ciri ini hanya akan disokong di Amerika Syarikat terlebih dahulu.