Ulasan Mi Ionic Hair Dryer H300 – Panas, Suam, Sejuk Semuanya Ada

Ulasan Mi Ionic Hair Dryer H300 – Panas, Suam, Sejuk Semuanya Ada

Diterbitkan pada Mac 31, 2021 oleh .

Xiaomi di China adalah sangat hebat, ini kerana mereka mempunyai pelbagai produk sehinggakan semua produk mereka sudah lengkap untuk sebuah rumah berjenama Xiaomi. Bayangkan, semuanya Xiaomi! Peti sejuk, mesin basuh, dapur masak, sinki, kipas, pendingin hawa, sofa, katil, vakum, peranti berhubung lampu, dan banyak lagi.

Tetapi sayangnya di Malaysia, produk seperti ini terhad dan hanya segelintir sahaja dibawa masuk. Itu pun ada yang tidak pintar. Di Malaysia, Xiaomi sudah pun mula menjual beberapa vakum, pengering rambut dan banyak barang rumah lain lagi. Terkini, mereka menjual Mi Ionic Hair Dryer H300 yang mana adalah pengering rambut dengan pelbagai suhu dan amat mudah digunakan untuk mendandan rambut. Barang ini tiba di Makmal Amanz dan kami letakkannya dalam segmen #BRB – Barang Rumah Baik. Adakah ia cukup baik? Adakah ia berbaloi? Atau hanya pengering rambut biasa dengan jenama Xiaomi? Ini adalah ulasan.


Spesifikasi Dan Rekaan

Mi Ionic Hair Dryer H300
JenisPengering rambut biasa
Tidak pintar
Berat498g (dengan nozel)
Saiz135mm× 77mm × 215mm (dengan nozel)
Kuasa Angin20m/s kelajuan angin
7-bilah aerofil kurang penggunaan tenaga
PerlindunganKetumpatan Anion 50million/cm3
Kawalan Suhu3 tahap: panas, 57°C angin konsisten, angin sejuk
2 tahap angin: kuat dan angin sepoi
HargaRM129

Mi Ionic Hair Dryer H300 adalah pengering rambut asas sahaja, yang mana ia bukanlah jenis pintar. Tetapi untuk saiz yang kecil, padat dan ringan, pengering rambut ini cukup berkuasa dan mempunyai beberapa ciri dan fungsi berguna. Pertama sekali, ia dibina dengan baik sekali dan kelihatan seakan produk dandanan rambut yang premium. Ia adalah plastik dengan kemasan cat jenis UV berwarna putih. Di sini kekurangan mula muncul, kerana warna putih yang digunakan adalah jenis kusam pada badan dan nozel yang sedikit lebih terang seakan lutsinar. Disebabkan itu, ia mudah menangkap pelbagai jenis kotoran seperti daki atau peluh.

Menarik dengan kemasan ini adalah, ia mempunyai cengkaman yang baik da berbeza dengan kebanyakan pengering rambut dengan kemasan berkilat yang mudah calar. Kedua, ia hanya ada satu nozel dan ia amat mudah untuk tertanggal sendiri. Kemudahannya adalah untuk mudah diputarkan pelbagai arah agar sesuai dengan penggunaan pengguna yang berbeza. Tetapi menjengkelkan apabila ia terus tercabut. Keseluruhan pengering rambut ini termasuk nozel adalah 498 gram sahaja, yang mana cukup ringan dan mudah untuk digunakan. Tangan tidak lenguh, ia mudah disimpan dan juga mudah dibawa ke mana sahaja.

Pengalaman Penggunaan

Sepanjang hidup saya, ini adalah pengering rambut ketiga yang saya miliki. Pertama adalah yang murahan tanpa jenama, yang suhunya tidak konsisten dan mudah memanas dan terhenti apabila terlampau lama digunakan. Kedua adalah Xiaomi, tetapi set import yang jenis boleh lipat. Juga berwarna putih seperti ini, cuma ia tidak boleh mengawal suhu. Kemudian Mi Ionic Hair Dryer H300 adalah yang ketiga, yang mana adalah kegemaran saya setakat ini.

Sebagai seorang yang menjaga rambut, saya menggunakan banyak produk seperti minyak rambut yang pelbagai jenis mengikut situasi atau untuk seorang lelaki yang berubah-ubah gaya rambut dari cara sikat, rambut jenis pendek atau panjang – pengering rambut seperti ini cukup menarik. Biasanya mana-mana orang boleh sahaja menggunakan mana-mana jenis pengering rambut. Tetapi perlu berhati-hati memilih, kerana ada yang tidak boleh kawal suhu akan memanas dan boleh terbakar, rambut rosak, memanas sehingga tidak boleh pegang atau kulit kepala cedera.

Mi Ionic Hair Dryer H300 mempunyai kuasa 1600W dengan kelajuan angin 20m/s yang dihasilkan dari 7-bilah aerofil dengan penggunaan kurang kuasa. Seperti yang saya katakan tadi, pengering rambut Xiaomi ini mempunyai kawalan yang baik untuk suhu dan kelajuan angin. Untuk suhu ia ada panas, suam sekitar 57 darjah dan juga sejuk dengan dua tahap angin yang boleh diubah seperti kuat atau angin yang sepoi.

Apa gunanya suhu berbeza? Bukankah kalau sejuk tidak boleh kering? Bukankah panas atau sekurang-kurangnya suam yang terbaik? Mengikut jenis rambut dan cara penggunaan, saya menggunakan tahap paling panas untuk keringkan rambut agar kulit kepala juga kering dengan pantas. Suhu panas ini saya ubah-ubah tahap angin bermula dengan kuat dan selepas hampir kering saya saya kemaskan dengan angin yang sepoi. Saya juga gunakan suhu panas + angin sepoi untuk mendandan rambut sebelum menyapu minyak.

Kemudian saya gunakan suhu suam sambil sikat rambut dengan kuasa angin sepoi sehingga selesai dan saya kemaskan dengan suhu sejuk sekali lagi dengan kuasa angin yang paling rendah.

Ionic itu apa? Anion pula?

Apabila berlakunya pemindahan elektron, ia membentuk sejenis ikatan dan ikatan ini adalah ionic atau dalam bahasa Melayu ionik. Anion pula adalah ion yang bercas negatif yang mana molekul atau atom yang menerima elektron ekstra dan bergerak ke arah anod ketika proses elektrolisis.

Dalam pengering rambut, penggunaan ionik tidak lagi asing. Ia biasa ditemui pada banyak pengering rambut berjenama atau yang mahal. Seperti proses anion, pemgering rambut ionik melakukan proses pemindahan ion bercas negatif ke rambut untuk memikat ion bercas positif yang berada dalam air ketika rambut basah – agar proses pengeringan adalah lebih pantas. Bukan itu sahaja, ia juga menutup kutikel rambut untuk mengekalkan kelembapan.

Adakah ini benar? Ya, rambut dan kulit kepala saya cepat kering dan sekali saya katakan ini adalah pengering rambut kegemaran saya.

Kawalan Dan Ekstra

Kawalan adalah mudah sahaja dengan satu butang dan juga satu suis. Suis adalah untuk hidup/matikan dan mengubah tahap kekuatan angin dan butang pula adalah untuk mengubah suhu dengan sekali tekan sahaja. Keliling butang kawalan suhu tadi ada lampu LED untuk memberi indikasi pengguna sedang menggunakan yang mana.

Bercakap mengenai LED, pada bahagian kekisi pengering rambut ada lampu LED putih untuk pencahayaan tambahan. Ia tidak cukup terang dan untuk apa? Saya tidak akan gunakan pengering rambut dalam gelap. Mungkin untuk menembak angin ke habuk atau serangga?

Kesimpulan

Pengalaman penggunaan Mi Ionic Hair Dryer H300 adalah memuaskan dan adalah antara yang terbaik yang pernah saya gunakan. Binaan ringan, memberi cengkaman dan mudah disimpan cukup baik. Membuatkan pengering rambut ini menjadi kesukaan saya adalah, kawalan suhu pelbagai yang memudahkan untuk pelbagai gaya rambut dan juga kemasan.

Dalam penggunaan 15 minit, pengering rambut ini tidak memanas dan boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Apa yang tidak suka pada produk ini adalah nozel yang mudah tanggal dan warna putih yang amat mudah kotor. Lain-lain tiada masalah. Dengan harga jualan RM129, ia bukannya mahal dan bukannya murah. Banyak sahaja pengering rambut ionik dalam harga sekitar RM100.

Kekuatan Xiaomi adalah pada jenama yang lebih dikenali, ada kedai fizikal dan kedai atas talian yang boleh dipercayai serta rekaan futuristik yang moden dan bergaya. Xiaomi juga mempunyai kawalan yang lebih banyak berbanding jenama lain yang harga lebih kurang sama tetapi satu suhu.


Pro

  • Ringan, padat dan kecil
  • Cepat mengeringkan rambut
  • Suhu dan kuasa angin yang boleh dikawal
  • Butang kawalan yang mudah digunakan

Kontra

  • Putih yang cepat kotor
  • Nozel yang mudah tertanggal
  • Tidak boleh dilipat untuk simpanan yang lebih mudah

TIPS & ULASAN