Cari @ Amanz

The Lourve ialah muzium terbesar dunia dengan keluasan lantai 782,910 kaki persegi. Sejak dibuka pada tahun 1795, ia mengumpul ratusan ribu hasil seni dan artifak yang tidak kesemuanya dipamerkan kepada orang ramai. Dengan pandemik masih menghalang orang ramai dari melawat muzium, The Lourve kini menawarkan kesemua koleksi mereka percuma di atas talian.

Secara keseluruhan 480,000 koleksi The Lourve, Musée National Eugène-Delacroix,Tuileries dan arca Carrousel Gardens boleh diakses menerusi portal khas buat pertama kali dalam sejarah penubuhan muzium. Ini membolehkan pelawat melihat hasil seni popular seperti Mona Lisa dan patung Dewi Nike tanpa hadir secara fizikal.

Selain itu koleksi buku lakaran Da Vinci juga boleh dilihat sekiranya anda berminat. Koleksi boleh diakses dalam kategori lukisan, ukiran, perabot, tekstil, barang kemas, penulisan dan objek. Terdapat juga koleksi yang dikumpulkan mengikut tema seperti artifak paling popular dan hasil seni terbaru dibeli oleh muzium. Disamping itu terdapat juga peta interaktif yang membolehkan pelawat melihat koleksi seperti mana ia dipamerkan di ruang muzium. Laman ditawarkan dalam bahasa Cina, Inggeris, Perancis dan Sepanyol.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd