Bank Negara Malaysia kini mengatakan mereka tidak mempunyai perancangan untuk memperkenalkan matawang digital bank pusat, dalam masa terdekat ini.
Seperti ramai sedia maklum, akhir-akhir ini sejumlah matawang digital semakin hangat diperkatakan – disamping beberapa negara yang telah mengkaji pengenalan matawang digital pusat yang tersendiri, yang ditambatkan kepada matawang negara tersebut.
Instrumen kewangan sedia ada pada hari ini dilihat beroperasi dengan berkesan dalam memelihara kestabilan kewangan. Sistem pembayaran domestik juga dilihat beroperasi dengan selamat dan cekap dalam menyokong keperluan ekonomi dan pembayaran digital masa-nyata.
Pada hari ini juga, beberapa aset digital atau kriptowang tidak digunakan sebagai medium pembayaran – salah satu sebabnya kerana ia tidak mempunyai ciri-ciri universal sesuatu matawang. Ini termasuk disebabkan oleh kos transaksi, kadar nilai yang berubah secara drastik, kerentanan siber, dan beberapa sebab yang lain.
Keputusan dasar utama mengenai matawang digital bank pusat akan dibuat berdasarkan manfaat yang jelas kepada Malaysia secara keseluruhan. Pengeluaran matawang digital bank pusat juga perlu menjadi pelengkap kepada instrumen pembayaran yang sedia ada termasuk wang tunai fizikal bagi memastikan semua rakyat Malaysia, khususnya masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, mempunyai akses berterusan kepada penyelesaian pembayaran yang selamat dan cekap.
Bank Negara menekankan mereka sering menilai dan melakukan kajian aktif berkaitan arena ini, termasuk berkaitan keputusan untuk matawang digital berpusat.