Realme GT Neo akhirnya diumumkan secara rasmi di China. Ia merupakan peranti terkini daripada Realme yang hadir dengan sokongan cip MediaTek Dimensity 1200. Ini sekaligus menjadikannya sebagai antara peranti pintar terawal yang menggunakan cip pemprosesan berkenaan.
Untuk spesifikasi khusus, Realme GT Neo dilengkapi skrin bersaiz 6.43-inci Super AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Selain daripada cip MediaTek Dimensity 1200, ia juga dipadukan dengan memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman sehingga 256GB dan bateri berkapasiti 4,500mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 55W.
Sistem tri-kamera utama digunakan di sini dengan gabungan 64-Megapixel (utama) + 8-Megapixel ( Sudut-Lebar) + 2-Megapixel (makro). Sementara itu, kamera hadapan pula sebesar 16-Megapixel. Spesifikasi lain termasuklah – pembesar suara stereo dengan Dolby Atmos, port sambungan USB-C, bicu audio 3.5mm, antaramuka Realme UI 2.0 berasaskan Android 11 dan banyak lagi. Untuk harga, Realme GT Neo dijual di China pada harga bermula RMB 1,799 (~RM 1137).