Cari @ Amanz

Skyworth adalah jenama televisyen yang baru sahaja membina nama di pasaran tempatan. Tetapi di luar negara, lebih-lebih lagi di China ia sudah pun popular dan mempunyai banyak variasi dan model. Seperti kebanyakan syarikat teknologi lain, Skyworth juga tidak berhenti membangunkan teknologi baru untuk produk-produk mereka. Terkini, mereka lancarkan Skyworth W82 dan Skyworth W92 telah dilancarkan.

Skyworth W82

Televisyen ini menggunakan panel OLED Basic Module (OBM) yang bersaiz 65-inci dengan resolusi 4K. Ia juga menyokong paparan Dolby Vision, HDR10 dan dikuasakan dengan enjin pengimejan tersendiri. Keunikan skrin televisyen ini adalah, ia menggunakan skrin melengkung yang boleh laras. Hanya tekan butang pada alat kawalan dan ia boleh berubah dari 1000R ke 2000R atau 1500R. Menurut Skyworth, panel skrin ini dihasilkan oleh mereka sendiri. Kebolehan mengubah lengkungan ini adalah untuk penggunaan berbeza, seperti untuk penggunaan seorang diri ketika bermain permainan, menonton filem beramai-ramai, dan banyak lagi.

Untuk sistem audio, Skyworth menggunakan sistem tersendiri mereka iaitu Skyworth Audio Drum untuk pengalaman pendengaran imersif. Bukan itu sahaja, ia juga adalah televisyen dengan kadar segar semula 120Hz adaptif dan 240Hz Crystal Motion. Port HDMI 2.1 untuk sokongan konsol seperti PS5 turut disertakan bersama-sama dengan WiFi 6 untuk sambungan Internet stabil dan pantas. Harga jualan adalah RMB29,999 iaitu sekitar RM18,924.

Skyworth W92

Televisyen ini pula adalah antara produk termahal mereka, dengan panel OLED 8K 120Hz bersaiz 88-inci, yang mana dikuasakan dengan Skyworth AI Picture Quality Engine untuk sokongan MEMC, kandungan 2K/4K boleh dijadikan kepada 8K. Ia mampu memancar 130 juta warna, kontras infiniti dan warna yang lebih tajam.

Menjadikan televisyen ini mahal dan unik adalah sistem audio Skyworth Audio Glass Sound yang mana adalahj sisem akustik tersendiri mereka. Mereka menggunakan kaca sebagai diafragma dengan 4×30-teras pemandu audio elektromagnet untuk gelombang audio merebak ke seluruh permukaan kaca. Pembesar suara mereka turut mempunyai Air Motion untuk kualiti audio yang lebih baik. Televisyen ini dijana dengan cip MediaTek S900 dan turut mempunyai kamera untuk sistem penjejakan dan sokongan TrensAI untuk dijadikan sebagai hab kawalan rumah pintar.

Seperti W82, model W92 turut menggunakan HDMI 2.1 untuk sokongan tambahan pada konsol permainan. Harga jualan adalah RMB199,999 iaitu sekitar RM126,161.

Setiap televisyen ini juga direka dengan rekaan premium dan elegan. Kedua-dua televisyen ini adalah televisyen untuk bangsawan yang mana mempunyai banyak ciri dan fungsi premium yang pasti tidak digunakan oleh pengguna biasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd