Terdahulu, Instagram telah mula menawarkan ciri Instagram Reels untuk pengguna di Malaysia dengan lebih meluas. Ini sekaligus menyediakan alternatif lebih pelbagai kepada para pengguna untuk kekal berkarya dengan lebih kreatif menerusi video pendek seumpama TikTok.
Dalam perkembangan terkini, Instagram dilihat menambahbaik fungsi sedia ada bagi menjadikannya kelihatan lebih menarik. Melaluinya, Instagram kini memperkenalkan ciri Remix pula bersama-sama dengannya. Ia dilihat mirip dengan fungsi TikTok Duet – yang membolehkan pengguna mencipta kandungan baharu menggunakan kandungan rakan mereka yang sedia ada.
Sama juga seperti fungsi Remix, pengguna Instagram boleh mencipta kandungan baharu bersama-sama perkongsian Reels sedia ada dengan menggabungkannya menjadi satu video pendek. Melaluinya, pengguna juga boleh menambah audio, pelekat dan membuat penyuntingan asas sebelum berkongsi. Ciri ini bagaimanapun diperkenalkan secara berperingkat dalam masa beberapa minggu lagi.