Lenovo telah memperkenalkan sejumlah besar siri komputer riba dari pelbagai tanda harga sewaktu acara CES 2021 beberapa bulan yang lalu. Terkini, sejumlah kecil siri komputer riba tersebut telahpun mula diperkenalkan di pasaran tempatan, termasuklah siri komputer riba Lenovo ThinkBook.
Melalui laman web Lenovo Malaysia, kita dapat lihat bahawa tiga model baru, iaitu Lenovo ThinkBook 13s gen 2 i, ThinkBook 14s Yoga i dan ThinkBook 15 gen 2 i.
Kesemua komputer-komputer riba ini hadir dengan pilihan CPU Intel generasi ke-11 Tiger Lake dan hadir dengan sejumlah rekaan dan ciri-ciri baru yang tidak dilihat pada komputer-komputer riba dalam siri yang sama sebelum ini.
Bermula dengan ThinkBook 13s gen 2 i, ia adalah dilengkapi dengan paparan skrin 13.3 inci dengan resolusi 1920×1200 dengan nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi yang dikuasakan pilihan CPU Intel Core i5-1135G7 ataupun Intel Core i7-1165G7, pilihan memori DDR4 sehingga 16GB dan juga storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB.
Beralih kepada ThinkBook 15 gen 2 i pula, komputer riba ini mempunyai paparan bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD yang dikuasakan pilihan CPU Intel Core i3-1115G4 ataupun Intel Core i5-1135G7, memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 512GB.
Untuk ThinkBook 14s Yoga i, ia adalah sebuah komputer riba yang boleh dijadikan sebuah tablet dengan melipat paparan ke belakang papan kekunci. Ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan resolusi Full HD dan dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-1135G7, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga storan SSD NVMe PCIe sebesar 256GB.
Dalam pada itu, komputer-komputer riba ini juga semuanya hadir dengan sejumlah ciri-ciri baru seperti sokongan untuk WiFi6, Thunderbolt 4 dan pengimbas biometrik terbaru.
Kesemua komputer-komputer riba ThinkBook ini sudahpun tiba di pasaran tempatan pada harga-harga berikut:
- Lenovo ThinkBook 13s gen 2 i – Harga bermula RM3839
- Lenovo ThinkBook 14s Yoga i – RM4259
- Lenovo ThinkBook 15s gen 2 i – Harga Bermula RM3269