Dalam diam-diam, Realme dilihat hadir dengan penawaran sebuah lagi peranti di bawah siri Realme X7 untuk pasaran China. Dikenali sebagai Realme X7 Pro Extreme Edition, ia dilihat mempunyai rekaan yang mirip dengan Realme X7. Akan tetapi, model kali ini menyokong paparan jenis melengkung pada bahagian sisi kiri dan kanan bagi membolehkannya kelihatan seakan mempunyai bezel yang kecil. Bukan itu sahaja, sokongan untuk LED Flash juga kini dilihat dalam bentuk memanjang.
Untuk spesifikasi khusus, Realme X7 Pro Extreme Edition dilengkapi skrin bersaiz 6.55-inci Super AMOLED FHD+ bersama kadar segar semula 90Hz. Seterusnya, ia dijana cip MediaTek Dimensity 1000+, memori sehingga 12GB LPDDR4x RAM, storan sehingga 256GB UFS 2.1 dan bateri berkapasiti 4,500 mAh yang menyokong pengecasan pantas 65W.
Tetapan kamera utama pula terdiri dengan sensor 64-Megapixel (utama), 8-Megapixel (Ultra sudut lebar), 2 megapixel (makro). Kamera hadapan pula sebesar 32 megapixel yang diletakkan di dalam lubang kamera.
Spesifikasi lain termasuklah – pengimbas cap jari sisi, antaramuka Realme UI 2.0 berasaskan Android 11, port sambungan USB-C dan banyak lagi. Untuk harga, Realme X7 Pro Extreme Edition dijual di China pada harga bermula RMB2299 (~RM1449) untuk versi asas.