Google sedia terkenal dengan penawaran telefon mercu mereka tersendiri, dibawah siri keluarga Pixel. Untuk tahun 2021 ini, Google dijangka memperkenalkan telefon mercu Pixel 6 secara rasminya.
Menariknya, melalui salah satu desas-desus yang hadir, Google diperkatakan akan menggunakan cip yang dihasilkan mereka sendiri pada telefon mercu mereka kelak.
Cip tersebut dijangka dikenali dengan nama “GS101”, dikatakan akan menyertakan tiga kluster untuk TPU (untuk pembelajaran mesin), dan mungkin menyertakan cip sekuriti khusus bagi keselamatan lebih baik. Berkemungkinan, pengeluaran cip ini dilakukan menggunakan fasiliti Samsung.
Pada hari ini, Apple sedia terkenal dengan penghasilan cip pemprosesan mereka tersendiri – sekaligus membolehkan mereka menghasilkan peranti yang dioptimasikan sepenuhnya dari perkakasan kepada perisian.
Untuk pengeluar Android pula, Samsung dan Huawei adalah yang paling terkenal dengan penggunaan cip tersendiri, sementara baru-baru ini, Xiaomi turut mengumumkan fokus terhadap penghasilan cip tersendiri.
Dengan Google menghasilkan cip tersendiri, ia akan membolehkan Google menghasilkan peranti yang dioptimasikan sepenuhnya – dan mungkin juga memberikan kesan terhadap pengeluar Android lain dalam menghasilkan cip tersendiri masing-masing.