Realme Buds Air 2 baru sahaja diperkenalkan di India sekitar bulan Februari lalu. Tidak lama kemudian, ia mula ditawarkan di pasaran Malaysia dengan tanda harga RM199 untuk seunit. Terkini, Realme dilihat berkongsi perancangan untuk hadir dengan penawaran Realme Buds Air 2 Neo pula tidak lama lagi.

Maklumat ini diperoleh menerusi perkongsian hantaran berbentuk poster daripada Realme Pakistan menerusi laman media sosial rasminya. Dari segi rekaan luaran, fon telinga ini dilihat mempunyai rekaan yang mirip seperti Realme Buds Q sebelum ini. Turut kelihatan, terdapatnya satu butang yang diletakkan di kedua-dua fon telinga berkenaan. Ia dipercayai berfungsi sebagai butang untuk tetapan semula tambatan.
Seterusnya, fon telinga ini juga akan dilengkapi pemandu audio sebesar 10mm, ketahanan bateri maksimum sehingga 28 jam dan sokongan pembatalan hingar aktif bersama-sama dengannya. Untuk penawaran lebih lanjut, sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya yang telah dijadualkan pada 7 April ini dalam sebuah acara yang bakal berlangsung di Pakistan.