Poco, Poco, Poco, Ohhh Poco. Semakin hari semakin buntu untuk pilih peranti Poco yang mana. Dengan Poco kini jenama tersendiri, mereka mempunyai fokus tersendiri walaupun ada model menawarkan spesifikasi yang sama dan dijual lebih murah dari Xiaomi atau Redmi. Poco adalah seakan Realme, mereka ada peminat tersendiri dan komuniti yang sentiasa pandang positif terhadap produk yang ditawarkan.
Selepas menggunakan Poco X3 Pro beberapa minggu, saya akui yang ia adalah peranti yang elok. Ia seronok digunakan, mampu sahaja bermain permua dan dijadikan sebagai peranti harian. Tetapi rekaan yang sama dengan Poco X3 NFC akan memberi persepsi, Poco sudah kehabisan idea. Baiknya di sini mereka jimat dan boleh jual pada harga mampu milik. Jadi seperti biasa dalam ulasan saya, saya akan menjawab persoalan seperti adakah Poco X3 Pro berbaloi dimiliki dan untuk siapakah peranti ini?
Spesifikasi Dan Rekaan
Poco X3 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.67″ IPS LCD, DotDisplay FHD+, 120Hz, |
Pemproses | Snapdragon 860 (7nm) |
Cip | Lapan Teras, Mencapai 2.96GHz |
Cip Grafik | Adreno 640 |
RAM | 6/8 GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 48+8+2+2 Megapixel f/1.79+f/2.2+f/2.4+f/2.4 |
Kamera Swafoto | 20 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5160mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari fizikal di sisi |
Harga Jualan | Bermula dari RM999 |
Poco X3 NFC = Poco X3 Pro. Jadi segala rekaan, saiz, dimensi semuanya sama. Beza ketara adalah cip pemprosesan, kamera dan panel kaca yang digunakan sahaja. Rekaan yang pada asalnya eksklusif pada Poco X3 NFC kini sudah digunakan di China pada peranti Redmi, dengan modul kamera seakan bahagian daripada kamera DSLR dan logo Poco besar-besaran. Hadapan, siri, atas dan bawah semuanya sama sahaja.
Jadi di sini berhati-hati, kerana jika ada penjual tidak bertanggungjawab mereka boleh perdaya anda dengan jual versi NFC dan bukannya Pro.
Peranti ini menggunakan skrin 6.67-inci IPS LCD DotDisplay dengan resolusi FHD+ serta sokongan kadar segar semula 120Hz. Dalaman dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 860 yang mana adalah cip 7nm 8-teras daripada 1x 2.96 GHz Kryo 485 Gold + 3x 2.42 GHz Kryo 485 Gold + 4x 1.78 GHz Kryo 485 Silver serta GPU Adreno 640. Cip ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan Snapdrago 855+, cuma dengan Poco X3 Pro – sokongan cip ini dipanjangkan sehingga kemaskini peranti ini berhenti.
Memori adalah sehingga 8GB RAM dan storan dalaman yang mencapai 256GB. Storan adalah jenis UFS 3.1 jadi ia menawarkan pengalaman yang sedikit lebih pantas. Kamera pula adalah 48+8+2+2 Megapixel dengan kamera swafoto 20 Megapixel. Perubahan di sini dengan edisi NFC adalah 64MP telah digantikan dengan 48MP. Bateri adalah 5160mAh dengan sistem pengecasan pantas 33W, sokongan NFC dikekalkan, sensor infra merah turut sedia terbina, GPS, WiFi dan Bluetooth 5.0.
Pengalaman Penggunaan
Skrin peranti ini cukup terang dan cantik. Tetapi ia masih lagi LCD dan semua peranti Xiaomi, Redmi dan Poco dengan panel skrin ini mempunyai masalah bayang-bayang di dagu peranti dan juga kamera swafoto. Menggunakan peranti ini bagi sesetengah orang mungkin akan menjengkelkan, seperti saya sendiri. Tetapi sesetengah orang lain mungkin ada sahaja yang boleh diterima. Pada bawah cahaya matahari terik, skrin peranti sedikit sukar untuk dilihat tetapi untuk peranti dalam kelas ini ia boleh diterima. Apa yang menarik adalah, peranti ini mempunyai sokongan 120Hz yang mana cukup lancar dan pantas. Bagi yang ingin merasai pengalaman penggunaan skrin kadar segar semula setinggi 120Hz dan ingin jimat duit, ini peranti yang sesuai.
Tetapi, sayang sekali 120Hz pada peranti ini tidak konsisten dan kadangkala seakan tidak berfungsi langsung. Jelas di sini MIUI for Poco tidak sehebat MIUI biasa. Disebabkan isu ini, saya jangkakan yang 120Hz pada peranti adalah sekadar perisian sahaja dengan cubaan menggunakan animasi pada MIUI untuk memanipulasi mata pengguna. LCD pada peranti ini masih tidak setanding peranti seperti Mi 10T, yang mana pada hemat saya adalah antara peranti dengan panel LCD terbaik. Disebabkan hal ini juga, ia menjadikan prestasi peranti tidak begitu konsisten dengan kadangkala baik dan kadangkala tidak.
Menonton video pada peranti ini cukup seronok kerana saiz yang besar, tetapi disebabkan peranti ini berat dan tangan akan cepat lenguh. Jika baring, tolonglah berhati-hati agar tidak tersembam ke wajah anda. Memegang peranti ini tidak begitu selesa jika terlampau lama dan membuatkan rasa bosan cepat timbul kerana peranti tidak sentiasa di tangan.
Beralih ke prestasi, peranti ini seperti yang dikatakan menggunakan cip Snapdragon 860. Ia adalah cip Snapdragon 855+, jadi adakah cip peranti mercu dua tahun lepas boleh digunakan pada tahun 2021? Jawapannya ya. Jika kita lihat, banyak lagi peranti mercu yang dijana cip ini masih disokong oleh pengeluar. Sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan. Tetapi, sayang sekali pengoptimasian perisian MIUI for Poco yang akan saya jelaskan lagi nanti – tidak begitu baik. Peranti ini terasa biasa sahaja, dan tidak begitu lancar.
Terima kasih kepada 120Hz, ia membantu sedikit jika ia berfungsi. Apabila tidak, ia terasa sedikit perlahan sehinggakan peranti dengan Snapdragon 690 atau Snapdragon 732G terasa lebih lancar. Isu peranti mula menjadi perlahan dan ada masalah lengah masa adalah apabila banyak aktiviti sudah dilakukan dan sudah bermain permua dalam masa lebih satu jam.
Bercakap mengenai permua pula, Genshin Impact menjadi penanda aras permua kami. Sayang sekali peranti ini hanya boleh bermain pada tahap medium dan 30fps sahaja. Pada tetapan ini, peranti tidak memanas dan boleh bermain dengan baik. Tetapi ia tidak memberi pengalaman bermain yang memuaskan. Bermain permua Asphalt 9 pula yang lebih ringkas, cukup baik. Tetapi tetapan High tidak begitu bagus dengan masalah grafik yang tidak kosisten dan lengah masa yang berlaku secara tiba-tiba. Jika bermain pada tetapan medium, iaitu yang lalai – ia baik sahaja dan boleh bermain secara terus sehingga 1 jam tanpa masalah.
Jadi prestasi tidak cukup Pro, hanya spesifikasi sahaja lebih Pro dari edisi NFC.
Penanda Aras
Skor penanda aras adalah seperti yang kami jangkakan. Jika cip Snapdragon 855+ boleh mencapai skor AnTuTu sekitar 500K, kenapa peranti ini tidak? Skor AnTuTu pada peranti ini adalah 484959 yang mana adalah baik sahaja. Skor Geekbench 5 pula hanya boleh diperoleh selepas kemaskini perisian jika tidak ia akan berhenti dengan sendiri pada tahap 99%. Skor diterima adalah 764 untuk satu teras dan 2572 untuk multi-teras.
Skor ini kelihatan tinggi dan baik. Tetapi saya akan ingatkan kepada anda yang skor adalah nombor semata-mata dan pengalaman penggunaan sebenar adalah penanda aras sebenar. Ulasan saya adalah berdasarkan prestasi yang saya alami sendiri dari menjadikan ia sebagai peranti harian selama beberapa minggu.
Perisian
MIUI for Poco adalah sistem operasi yang lebih kurang sama dengan MIUI pada peranti Redmi dan Xiaomi. Ia juga berasaskan MIUI 12, yang mana adalah berasaskan Android 11. OnePlus Nord N10 yang terkenal dengan Oxygen OS pantas itu pun masih Android 10 – jadi kelebihan di sini adalah Poco memberikan kemaskini yang pantas dan menjaganya dengan baik. Dengan komuniti yang aktif, lebih-lebih lagi di India, pemburu pepijat cepat sahaja tangkap masalah yang timbul dan kemaskini akan diedarkan selepas beberapa minggu.
MIUI for Poco ada masalah yang tidak enak. Ia tidak mempunyai pengoptimasian yang baik dari segi pengurusan memori dan juga penggunaan kuasa. Pengalaman keseluruhan akan lebih kurang sama dengan peranti MIUI lain, tetapi ada isu prestasi yang kadangkala baik kadangkala tidak membuatkan perasaan menjengkelkan timbul. Mungkin Poco sudah jenama sendiri, jadi pasukan pembangunan juga tidak sama.
Ciri dan fungsi pada peranti ini adalah lebih kurang sama dengan MIUI lain sahaja. Jadi, iklan yang banyak ada serta aplikasi gendut yang tidak digunakan orang juga sedia terpasang. Harapnya MIUI 12.5 nanti akan membaiki isu pada Poco agar pengalaman penggunaan sekurang-kurangnya setaraf.
Kamera
Kamera bukan kekuatan untuk peranti Poco. Sejak dari F1 lagi, ia hanya biasa sahaja dan bolehlah. Konfigurasi kamera adalah 48+8+2+2 Megapixel yang mana kita tahu yang sebenar hanyalah 48MP dan 8MP untuk mod utama dan mod sudut ultra lebar. Kamera swafoto 20 Megapixel juga, hmmmm… anda nilai sendiri di perenggan bawah.
Aplikasi kamera adalah kamera dari MIUI, jadi kawalan dan penggunaan adalah mudah sahaja dengan beberapa mod dimuatkan yang cuba menyerlahkan kreativiti pengguna. Tetapi dengan perisian yang tidak matang, dan cip lama – kemampuan memproses imej yang dirakam kamera itu perlahan dan tidak cukup hebat.
Kamera pada peranti ini tiada masalah dalam mengambil gambar di suasana yang cerah atau jika ada lampu yang banyak. Ia akan memberikan hasil yang memadai untuk kategori peranti seperti ini. 48MP pada peranti adalah pilihan baik dan tidak perlu pun saiz besar sehingga 64MP atau 108MP kalau perisian dan ISP tidak mampu mengendali hasil dengan baik. Warna cukup terang dengan butiran yang tidak begitu jelas. Tetapi sokongan HDR membantu menajamkan warna sedia ada. Cuma, penggunaan AI tidak begitu baik kerana mempunyai keputusan yang berbeza. AI kamera peranti tidak begitu cerdik.
Sudut ultra lebar adalah bonus untuk peranti seperti ini. Ia hanya sekadar ada dan melengkapi konfigurasi kamera. Warna yang tidak begitu cantik dan butiran yang tidak begitu baik membuatkan sudut ultra lebar ini ala kadar sahaja. Begitu juga dengan mod makro yang tidak begitu baik kerana ada masalah fokus.
Peranti ini seakan peranti gaming yang mana kamera biasa-biasa sahaja, tetapi fokus pada prestasi. Tetapi untuk kes Poco X3 Pro, kedua-dua prestasi dan kamera tidak konsisten.
Mod potret dan swafoto adalah ok. Dengan kemampuan menjadikan hasil gambar sedikit unik dan berbeza. Sistem kamera peranti ini pada hemat saya tidak sesuai dengan mengambil gambar menggunakan tangan sahaja. Saya galakkan gunakan tripod untuk dapatkan hasil dengan fokus baik serta butiran baik. Swafoto mempunyai kesan yang sedikit lembut, tetapi mod potretnya memadai.
Video bukan kekuatan juga. Kerana ada isu memanas serta ada kesan seakan lensa bermasalah. Ini juga mungkin masalah perisian sahaja.
Audio
Seperti Poco X3 NFC, peranti yang dijual pada harga mampu milik seperti ini mempunyai sistem audio yang boleh diterima. Ia adalah pembesar suara stereo dengan hasil yang baik dan aras suara yang cukup kuat. Cuma sekali lagi, masalah perisian – apabila aras suara sedang dilaras untuk diperlahankan kadangkala terus melompat menjadi sangat perlahan dan apabila ingin tinggikan ia jadi terlampau tinggi.
Sekadar menonton video kurang satu jam dan mendengar muzik pada jangka masa pendek, audio pada peranti ini baik sahaja. Syukur dengan adanya port sambungan 3.5mm, set fon telinga berwayar boleh lagi digunakan. Bermain permua dengan peranti ini tidak akan memberikan pengalaman pendengaran yang baik. Kerana kekisi di bahagian bawah tertutup dengan tangan.
Sebagai bonus tambahan yang kini menjadi ciri pada MIUI adalah, pembesar suara yang boleh menembak keluar habuk atau percikan air untuk melindungi peranti.
Telefoni dan GPS
Melakukan panggilan telefon pada peranti ini akan membuatkan anda rasa aneh. Ini kerana saiz yang besar, tebal serta berat adalah tidak selesa untuk perbualan jangka masa panjang. Kualiti audio adalah baik sahaja, tetapi masih ada sedikit kesan hingar. Suara juga cukup baik boleh dengar suara di pemanggil, tetapi aras suara tidak begitu kuat yang mana kadangkala perlahan kadangkala kuat.
Penggunaan data mudah alih pula adalah biasa sahaja. Dengan cip Snapdragon 860, peranti ini terhad dengan rangkaian 4G sahaja. jadi ia akan ada masalah sambungan jika menggunakan peranti 4G lain yang mana tidak sama dengan pengalaman penggunaan peranti 5G. Cuma, rangkaian yang diperoleh adalah lebih stabil – tetapi penggunaan kuasanya agak tinggi.
GPS pula tidak begitu baik. Ia mengambil masa sedikit lebih lama berbanding peranti lain dalam harga jualan yang lebih kurang. Ia boleh mengunci lokasi dan memberikan arahan selok-belok, tetapi tidak cukup memuaskan.
Bateri
Biasanya jika peranti dengan bateri lebih 5000mAh, iaitu pada peranti ini adalah 5160mAh – boleh menerima SOT mencapai 6-7 jam. Malah 8 jam juga tiada masalah. Tetapi pada peranti ini, sepanjang penggunaan saya hanya menerima SOT 4-5 jam sahaja untuk kedua-dua jenis penggunaan. Baik penggunaan ringan atau ekstrem, kadar bateri saya adalah lebih kurang sahaja. Penggunaan ringan adalah dengan kamera, panggilan, media sosial dan sedikit video sambil semua tetapan diaktifkan. Ini hanya sekitar 5 jam SOT.
Manakala penggunaan ekstrem seperti permua sekitar 1 jam, strim video beberapa episod dan ujian kamera – ia boleh bertahan mencapai 4 jam SOT sahaja. Masalah ini dilihat adalah pada penggunaan kuasa, yang mana Snapdragon 860 atau Snapdragon 855+ – tidak cukup baik. Dengan iklan yang berjalan di latar, perisian yang tidak baik serta 120Hz yang tidak konsisten masalah ini boleh berlaku.
Pengecasan 33W yang disokong juga tidaklah pantas mana. Masih mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit juga. Kebaikan di sini adalah 33W yang disokong adalah berdasarkan Quick Charge, jadi tiada masalah menggunakan pengecas GaN atau USB-PD.
Pesaing
Realme X7 Pro | Poco X3 Pro | Samsung Galaxy M62 |
6.55″ Super AMOLED, 120Hz, FHD+, ~402 ppi | 6.67″ IPS LCD,FHD+, 120Hz, ~395 PPI | 6.7″ Super AMOLED+, FHD+, 60Hz, ~393 PPI |
MediaTek Dimensity 1000+ (7nm) 4 x 2.6 GHz Cortex-A77 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 860 (7 nm) 1 x 2.96 GHz Kryo 485 Gold 3 x 2.42 GHz Kryo 485 Gold 4 x 1.78 GHz Kryo 485 Silver | Exynos 9825 (7 nm) 2 x 2.73 GHz Exynos M4 2 x 2.40 GHz Cortex-A75 4 x 1.95 GHz Cortex-A55 |
Mali-G77 MC9 | Adreno 640 | Mali-G76 MP12 |
8 Gigabyte | 6/8 Gigabyte | 8 Gigabyte |
256 Gigabyte UFS 2.1 | 128/256 Gigabyte UFS 3.1 | 256 Gigabyte UFS 3.1 |
Kamera Utama 64+8+2+2 Megapixel, (f/1.8+f/2.3+f/2.4+f/2.4) | Kamera Utama 48+8+2+2 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4) | Kamera Utama 64+12+5+5 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/2.4) |
Kamera Hadapan 32-Megapixel, (f/2.5) | Kamera Hadapan 20 Megapixel, (f/2.2) | Kamera Hadapan 32 Megapixel, (f/2.2) |
Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air | Tiada Kemampuan Kalis Air |
Tiada Bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm | Ada bicu audio 3.5mm |
Tiada Pemancar infra merah | Ada pemancar infra merah | Tiada Pemancar infra merah |
4500 mAh (Berwayar 65W) | 5160mAh (Berwayar 33W) | 4500 mAh (Berwayar 25W) |
RM1,999 | Bermula Dari RM999 | RM1,999 |
Kesimpulan
Poco X3 Pro pada hemat saya adalah strategi Poco untuk hadir dengan lebih banyak pilihan peranti sebagai persediaan kepada masalah kekurangan cip dalam industri telefon pintar. Jadi dengan mengitar semula cip dan letak nama baru, guna semula rekaan sama, serta menggunakan perisian yang tidak matang – Poco X3 Pro boleh menarik perhatian orang ramai kerana adanya persepsi yang peranti ini adalah peranti yang hebat dan berkuasa.
Peranti ini bukannya tidak baik, ia okay sahaja. Cuma, ia bukan untuk semua orang tidak kiralah untuk dijadikan peranti ini sebagai peranti kedua atau harian. Dengan skrin 120Hz yang cuba memberikan pengalaman yang lancar, prestasi yang bolehlah serta kamera yang baik-baik sahaja – Poco X3 Pro bukannya pembunuh peranti mercu. Sebaliknya adalah peranti untuk komuniti atau peminat Poco. Ia seperti OnePlus dengan siri T, atau Realme yang kitar semula cip berkali-kali.
Poco X3 Pro adalah untuk peminat setia Poco, lebih-lebih lagi Poco F1. Poco F1 dijana dengan cip Snapdragon 845 dan Poco F2 tidak dilancarkan kerana terus ke Poco F2 Pro yang lebih berkuasa. Jadi peranti Poco tidak pernah ada lagi dengan cip Snapdragon 855/855+. Dengan penggunaan nama 860 dan prestasi 855 – Poco X3 Pro ini adalah seakan Poco F2 untuk pengguna Poco F1 tukar.
Ia juga sesuai kepada mereka yang mempunyai bajet sekitar RM1000 sahaja untuk merasai kehebatan peranti mercu dua tahun lepas. Jadi jika sekadar ingin mencuba pengalaman peranti mercu lama dengan jenama Poco, ini peranti yang baik. Harga jualan bermula dari RM999 tidak begitu mahal, lebih-lebih lagi Mi Fan Festival yang akan bermula esok yang dijual pada harga RM899 – ia adalah peranti yang patut dicuba oleh semua orang.
Tetapi kalau anda inginkan peranti dengan perisian yang stabil dan matang – boleh cuba OnePlus Nord N10. Cuma peranti ini mempunyai jangka hayat 1 tahun dan ia dilancarkan pada September 2020. Jadi jika dibeli sekarang hanya ada sekitar 5 bulan sebelum ia tamat tempoh. Pilihan di tangan anda.
Pro
- Harga berpatutan dan mampu milik
- Cip Snapdragon siri 8xx yang masih baik
- 120Hz yang cuba menjadikan peranti lebih lancar
- Sokongan kemaskini Poco dijanjikan 3 tahun
- Pembesar suara stereo
- Masih ada port bicu audio 3.5mm
Kontra
- Prestasi tidak konsisten dan kadangkala bermasalah
- Skrin LCD yang ada bayang-bayang
- Bateri yang lemah dan tidak cukup hebat
- MIUI yang tidak begitu baik berbanding MIUI pada peranti bukan Poco
- Rekaan yang sama dengan peranti kelas pertengahan tahun lepas