Cari @ Amanz

Garmin adalah jenama yang terkenal dengan teknologi GPS dan sejak trend peranti boleh pakai semakin menjadi-jadi, Garmin juga mengikut pengeluar peranti lain untuk hadir dengan pelbagai variasi peranti boleh pakai tersendiri mereka. Sudah tentu, Garmin ini bukan untuk semua orang kerana harga jualan yang premium. Peranti boleh pakai Garmin biasanya disasarkan kepada para atlet profesional dan yang banyak aktif dengan aktiviti di luar atau aktiviti lasak.

Terkini, Garmin Malaysia telah mula menjual Garmin Enduro. Ia adalah jam tangan pintar asas dengan fungsi dan ciri yang memfokuskan kepada penjejakan kesihatan dan untuk pemantauan kecergasan pengguna. Kali ini menurut Garmi, Enduro menawarkan prestasi GPS berkali ganda hebat dengan kemampuan membantu pada atlet profesional tanpa risau terhadap masalah bateri. Ini kerana Enduro menggunakan kaca Power Glass yang mempunyai sokongan solar yang boleh berikan ketahanan bateri selama 65 hari.

Ia juga dibina dengan bahan binaan ringan dan tahan lasak serta tali jam yang lebih ringkas dan mudah digunakan. Saiz skrin adalah 1.4-inci dengan rekaan bulat, serta resolusi 280 x 280. Paparan juga adalah jenis berwarna, untuk memaparkan pelbagai data. Antara “alatan” disediakan untuk para atlet adalah ClimbPro untuk data mendaki, Rest Timer untuk pemantauan masa rehat, khusus untuk mereka yang kayuh basikal di gunung boleh menggunakan Mountain Biking, turut terbina adalah mod pemulihan khusus untuk pemantauan tidur dan rehat yang lama. Seperti beberapa jam tangan pintar lain, Enduro turut boleh berikan cadangan aktiviti yang patut dilakukan.

Memandangkan fokus Garmin adalah untuk yang pro, Enduro turut boleh menguji kadar kardiovaskular VO2 Max mengikut kondisi pengguna, serta cuaca. Ia lebih kepada jam untuk mereka yang ingin menguji tahap mana mereka boleh bersenam. Mod-mod lain seperti imbasan nadi, tenaga dan beberapa yang lain yang sama dari produk Garmin lain masih disertakan. Selain GPS, sokongan kompas juga disertakan dengan teknologi 3-paksi. Ia juga boleh ditambat kepada aksesori inReach Mini untuk penjejakan dan komunikasi bersama keluarga, rakan atau pengguna lain.

Harga jualan di Malaysia adalah RM3699 dengan Steel. Ia boleh dibeli di Lazada, Shopee, atau pengedar rasmi lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd