Cari @ Amanz

Pelbagai model komputer riba gaming dilihat telah dan akan memasuki pasaran tempatan, dan baru-baru ini, Malaysia Lenovo dilihat telah membuka pra-tempah untuk siri komputer riba gaming Legion 5 mereka secara senyap.

Legion 5 Pro

Dua model yang diperkenalkan dalam siri ini termasuklah Legion 5 dan juga Legion 5 Pro dimana kedua-duanya dikuasakan gabungan CPU AMD Ryzen 5000 dan juga kad grafik dari siri NVIDIA GeForce RTX 3000.

Bermula dengan Legion 5 Pro, komputer riba ini hadir dengan satu konfigurasi sahaja, termasuklah paparan 16 inci dengan resolusi 2560×1600 dan kadar segar semula 165Hz dengan nisbah paparan 16:10. Dari segi konfigurasi komponen, komputer riba ini dikuasakan CPU AMD Ryzen 7 5800H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan storan SSD NVMe PCIe sebesar 1TB.

Dari segi GPU pula, Legion 5 Pro dimuatkan dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Max-Q yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi tersebut dengan kadar segar semula yang tinggi.

Beralih pula kepada Legion 5, komputer riba gaming ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 165Hz. Pilihan CPU, memori dan storan komputer riba ini adalah sama seperti yang diperihatkan pada Legion 5 Pro, cuma untuk model ini, kad grafik yang digunakan ialah NVIDIA GeForce RTX 3060.

Pra-tempah untuk komputer riba ini dibuka pada 3 April, dan akan berterusan sehingga 18 April 2021 kelak hadir dengan promosi aksesori percuma bernilai RM1000, termasuklah kupon Steam bernilai RM200, kerusi gaming TT Racing dan juga baju dan topi berjenama Legion.

Pra-tempah ini boleh dilakukan melalui kedai Lenovo Malaysia di Shopee, Lazada dan juga laman web Lenovo Malaysia sendiri. Menurut laman-laman web ini Lenovo Legion 5 Pro boleh dipra-tempah pada harga RM6799, manakala Legion 5 boleh didapati pada harga RM6099.

Menurut laporan Nextrift juga, siri komputer riba gaming Legion 5 ini dijangka akan mula dijual di pasaran tempatan sekitar penghujung bulan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd