Cari @ Amanz

Antara sebab peranti Nokia masih ada peminat walaupun ia tidak begitu hebat dan setanding dengan pesaing adalah, ia menjalankan sistem operasi seakan Android asli dan Android One. Disebabkan itu, proses kemaskini adalah pantas tidak kira dari tampalan sekuriti sehinggalah kemaskini Android itu sendiri.

Juho Sarvikas, iaitu individu yang menjayakan jenama Nokia telah pun meninggalkan Nokia selepas 15 tahun berkhidmat. Baru-baru ini, beliau dilihat telah menyertai Qualcomm sebagai Timbalan Presiden. Disebabkan itu, misi dan visi Nokia mungkin berubah. Terkini melalui laporan dari XDA, HMD Global dikatakan sedang mencari pekerja untuk merekabentuk antaramuka untuk produk mereka. Ini memberikan petanda yang mungkin Nokia tidak lagi akan menggunakan Andorid One atau seakan Android asli, sebaliknya mempunyai tema atau antaramuka tersendiri.

Walau bagaimanapun, perekabentuk yang mereka cari ini tidak dinyatakan sama ada untuk aplikasi atau sistem operasi. Cuma, dengan Nokia yang tidak begitu popular mereka mungkin akan mencari alternatif untuk hadir dengan sesuatu yang baru. Vivo dengan Origin OS, OnePlus di China dengan ColorOS, ZTE dengan MyOS – semuanya sudah berubah. Mungkin kini giliran Nokia pula.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd