Cari @ Amanz

Dua tahun lepas, Spotify dilihat mula menguji produk fizikal melalui Spotify Car Thing. Car Thing ialah pemain audio yang dipasang di dalam kereta. Ia mempunyai sebuah skrin berbentuk bulat pada sebelah kiri dan empat butang pada sebelah kanan yang diprogramkan untuk melancarkan empat senarai main peribadi pengguna. Tetapi sehingga hari ini masih tiada khabar lagi mengenai kehadiran produk ini.

Selepas dua tahun, Sptoify dilihat hadir dengan versi kemaskini – yang mana menurut sumber ia mula muncul dalam aplikasi Spotify untuk iOS. Car Thing kini berbentuk segi empat, hadir dengan skrin, beberapa butang, port sambungan juga kelihatan dan juga tombol gergasi yang mungkin untuk mengawal aras suara dan/atau senarai main. Maklumat baru mengenai peranti ini adalah, ia merupakan aksesori tambahan kepada inforia sedia ada. Car Thing dikatakan perlu ditambat ke peranti dan juga inforia kenderaan.

Tetapi Car Thing ini mungkin disasarkan kepada kereta yang menggunakan inforia asas tanpa Android Auto atau Car Play, kerana ada petanda yang Spotify akan mengintegrasikan Waze dan Google Maps. Car Thing juga dilihat akan menekankan pendengaran podcast, yang mana dikatakan melalui peranti ini mereka boleh pelajari corak penggunaan pengguna. Rekaan nipis juga dilihat memudahkan peranti ini dicagak pada kereta melalui sirip penyaman udara kereta.

Masih tidak pasti bila ia akan diperkenalkan, ia sudah pun tersenarai dalam FCC di Amerika Syarikat – jadi ia mungkin akan tiba dalam masa terdekat. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd