Google Menang 6-2 Menentang Oracle Dalam Isu Penggunaan Kod Pengaturcaraan Didalam Sistem Operasi Android

Diterbitkan pada Apr 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Jika anda mengikuti perkembangan kes saman Oracle keatas Google kerana penggunaan kod didalam sistem operasi Android yang berlarutan selama kira-kira 10 tahun, mahkamah Amerika Syarikat akhirnya telah mengeluarkan keputusan yang mengatakan bahawa Google tidak melanggari sebarang undang-undang hak cipta Oracle dalam membangunkan sistem operasi tersebut.

Untuk sedikit latar belakang mengenai kes ini, Google sebelum ini telah menggunakan sekitar 12,000 barisan kod Java yang dibangunkan oleh Sun Microsystems, iaitu syarikat pembangun bahasa pengaturcaraan Java yang kemudiannya diambil-alih oleh Oracle.

Oracle kemudiannya menyaman Google kerana penggunaan barisan-barisan kod ini, mengatakan bahawa Google berhutang dengan syarikat tersebut sebanyak $9 bilion. Malah, Oracle sebelum ini telah memenangi pertikaian penggunaan barisan-barisan kod ini sebanyak dua kali, mengatakan bahawa Google tidak dilindungi dibawah undang-undang penggunaan adil (fair use laws).

Menariknya, Supreme Court, ataupun mahkamah tertinggi Amerika Syarikat baru-baru ini telah membalikkan keputusan tersebut melalui undian panel kehakiman yang terdiri daripada lapan hakim yang mengundi 6-2 untuk memansuhkan keputusan sebelum ini.

Hakim Stephen Breyer mengatakan bahawa keputusan itu bertukar tangan kerana barisan kod yang digunakan Google bernaung dibawah undang-undang penggunaan adil kerana Google hanya mengambil kod yang diperlukan untuk membolehkan pengaturcara mereka untuk menjadikan sistem operasi Android itu lebih mudah untuk dibangunkan dan digunakan oleh orang ramai.

Oracle pula mengatakan bahawa pemusingan keputusan ini adalah sesuatu yang salah kerana penggunaan kod Sun Microsystems tanpa pampasan yang sepatutnya adalah langkah semberono yang hanya boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat seperti Google tanpa perlu risau mengenai akibatnya.

Monopoli Google keatas penggunaan teknologi sesuka hati mereka, menurut Oracle ialah diantara alasan mengapa banyak kerajaan di luar Amerika Syarikat telah mula meneliti cara mereka menjalankan perniagaan di negara-negara mereka.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami