Pandang Pertama Xiaomi Mi 11 Ultra – Adakah Ini Definisi Peranti Ultra?

Pandang Pertama Xiaomi Mi 11 Ultra – Adakah Ini Definisi Peranti Ultra?

Diterbitkan pada Apr 7, 2021 oleh .

Tahun ini adalah tahun Xiaomi. Pertama, Disember 2020 mereka melancarkan Mi 11 iaitu peranti pertama dunia dengan Snapdragon 888 dan dijual pada Januari. Kemudian beberapa minggu lepas, Xiaomi melengkapkan barisan Mi 11 sekali gus dalam masa dua hari serentak. Dari kelas pertengahan, peranti Redmi yang dijenamakan semula, variasi Pro dan juga Ultra.

Pro dan Ultra mencipta rekod Xiaomi, dengan sokongan IP68 buat pertama kalinya. Paling hebat dan berkuasa adalah Mi 11 Ultra dengan kamera pertama dalam DXOMark, skrin sekunder di belakang, serta pengecasan 67W berwayar dan nirwayar. Saya berpeluang mencuba peranti ini, dan ia membuatkan saya terkejut. Ini adalah pendapat saya.


Spesifikasi Dan Rekaan

Mi 11 Ultra
Skrin6.81″ AMOLED 1B, 120Hz Adaptif, HDR10+
Dolby Vision 1700 nits, WQHD+, Kaca Victus
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Cip GrafikAdreno 660
RAM8GB / 12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB / 512GB UFS 3.1
Kamera Utama50 MP, f/2.0, (utama), Dual Pixel PDAF, Laser AF, OIS
48 MP, f/4.1, (telefoto periskop), PDAF, OIS, 5x zum optikal
48 MP, f/2.2, 128˚ (ultra lebar)
Kamera Swafoto20 Megapixel f/2.2
Bateri5000mAh
Pengecasan berwayar/nirwayar 67W
Pengecasan nirwayar berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM4299

Mi 11 Ultra menggunakan skrin AMOLED 1B yang sama dengan Mi 11, tetapi saiz adalah sedikit lebih besar iaitu 6.81-inci. Lain-lain sama sahaja, dari sokongan 120Hz adaptfif, paparan Dolby Vision, HDR10+ dan skrin berlubang. Juga sama seperti barisan peranti mercu Mi 11 yang lain, yang mana peranti ini dikuasakan dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 888. Memori pula adalah 12/256 GB, iaitu variasi yang akan dijual di Malaysia. Kamera menjadi fokus utama, dengan menyertakan kamera yang pengguna akan guna tanpa sebarang kamera gimik seperti pesaing. Percaya atau tidak, untuk peranti yang berharga lebih dari RM4000 oleh Xiaomi hanya ada tiga lensa. Xiaomi mengikut strategi seperti Apple, yang mana tiga-tiga lensa adalah berguna – iaitu sensor utama, sudut ultra lebar dan juga khusus untuk zum. Melengkapkan konfigurasi kamera Mi 11 Ultra adalah sensor kedalaman dToF untuk fokus yang lebih baik. Tetapan kamera belakang adalah 50MP sensor Samsung ISOCELL GN2 pertama dunia, 48MP ultra lebar dan 48MP telefoto periskop yang menyokong zum sehingga 120x.

Kesemua peranti mercu Mi 11 menggunakan kamera swafoto 20MP yang mana sudah pun cukup baik. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W berwayar dan juga nirwayar. Jika itu tidak cukup, Xiaomi turut menyertakan sokongan pengecasan nirwayar berbalik 10W. Buat pertama kali juga, peranti Xiaomi akhirnya menyertakan sokongan perlindungan IP68. Untuk sekuriti Xiaomi menggunakan pengimbas cap jari bawah skrin seperti Mi 11 dan turut mengekalkan sensor infra merah untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh.

Menjadikan peranti ini unik adalah ia mempunyai skrin sekunder di belakang yang menggunakan panel sama dari Mi Smart Band 5 yang dilancarkan tahun lepas. Ia hanya menyokong kawalan dua kali tap, paparan notifikasi asas, memaparkan status bateri atau ketika pengecasan dan juga boleh dijadikan sebagai pemidang tilik (viewfinder) untuk mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama.

Rekaan peranti adalah sedikit lebih besar dan tebal. Tetapi paling dahsyat adalah bonggol kamera gergasi seakan OnePlus 8T Cyberpunk, tetapi jauh lebih tebal. Sekali pandang, ia seakan menggunakan separuh dari belakang peranti untuk modul kamera sahaja. Sisi, sama dengan Mi 11. Begitu juga atas dan bawah untuk port sambungan, kekisi pembesar suara dan lain-lain lagi.

Panel belakang Mi 11 Ultra adalah kaca Victus, versi marmar dan seramik tidak ditawarkan di Malaysia. Masalah panel belakang ini adalah ia terlampau berkilat sehingga memantul seakan cermin. Ia juga menangkap kotoran cap jari yang banyak dan amat mudah. Disebabkan rekaan yang sedikit melengkung, peranti ini selesa di tangan dan tidak begitun licin. Lengkungan ini memberikan cengkaman tambahan. Bercakap mengenai lengkungan, skrin peranti ini juga masih melengkung – yang mana tidak begitu dalam seperti Huawei atau Vivo NEX 3. Ia ok, cuma mungkin tidak akan digemari oleh sesetangah orang. Ya, masalah tersentuh dengan tapak tangan masih ada walaupun dalam perisian sudah ada fungsi untuk kawal tahap agar tapak tangan tidak tersentuh. Tetapi MIUI masih tidak cukup hebat kerana ia tidak konsisten dan kadangkala masih tersentuh.

Pengalaman Penggunaan

Semasa acara Mi Fan Festival 2021, Saya berpeluang menggunakan peranti ini dalam masa yang singkat. Sudah semestinya, perkara pertama sebelum saya uji adalah skrin sekunder di belakang. Skrin tidak mempunyai resolusi tinggi dan anda boleh lihat piksel pada skrin. Skrin sekunder Mi 11 Ultra ini amat asas, tidak ada sokongan kawalan sentuhan yang meluas sebaliknya seperti yang dikatakan tadi terhad untuk double tap sahaja. Untuk kamera ia hanya memaparkan pemindang tilik sahaja dan ia juga asas tanpa sebarang kawalan. Untuk kawalan pengatup kamera pula adalah dari butang aras suara.

Skrin sekunder ini juga boleh memaparkan notifikasi asas, status bateri yang sama seperti Always-On Display pada mana-mana peranti dengan skrin OLED Xiaomi.

Skrin utama akan memberikan pengalaman penggunaan sama seperti Mi 11 sahaja. Hanya sedikit lebih besar. Resolusi WQHD+, 120Hz, HDR10+, tonton apa jua video dengan sokongan ini adalah memuaskan. Antara Oppo Find X3 Pro, Mi 11 dan Galaxy S21 Ultra – Xiaomi menghampiri dengan Samsung yang mana mempunyai kecerahan yang cukup terang. Manakal Oppo lebih kepada warna yang natural. 120Hz pada Mi 11 Ultra terasa lebih lancar berbanding Mi 11, mungkin kerana pengoptimasian yang berbeza untuk skrin yang lebih besar. Tetapi, secara keseluruhan ia sama sahaja.

MIUI pada peranti ini masih lagi MIUI 12 dan bukannya yang terkini iaitu MIUI 12.5. Jadi anda boleh bayangkan ada iklan, pengurusan memori yang sedikit lebih baik sahaja. Semua ciri dan fungsi adalah sama sahaja pada peranti mercu MIUI yang lain. Dari Game Turbo, Video Tool, Second Space, Dual App, dan banyak lagi elemen Android asli yang boleh digunakan – kerana ia berasaskan Android 11.

MIUI masih MIUI, ada cacat cela yang menjengkelkan. Jadi untuk peranti Ultra dengan perisian yang bagus, saya masih memuji Samsung One UI yang cukup stabil. Malah, Color OS pada Oppo juga lebih dekat dengan Android asli dan memberikan pengalaman penggunaan jauh lebih baik. Selagi MIUI 12.5 tidak dikeluarkan untuk pengguna global, selagi itu peranti ini akan mempunyai masalah yang tidak digemari oleh semua orang. Antara yang saya tidak gemar sekain iklan adalah, masalah notifkasi yang tidak bagus. Kadangkala WhatsApp dari Group A akan keluar tetapi mesej yang dipaparkan adalah dari Group B.

Peranti ini seperti yang dikatakan tadi adalah sedikit tebal. Sebagai pengguna Mi 11, peranti terasa seakan dua Mi 11 dipegang. Ia juga berat. Jadi untuk pengguna tangan kecil, ini bukan peranti untuk anda. Kemudian, untuk peranti yang berharga lebih RM4000 sangat digalakkan untuk menggunakan kerangka pelindung yang tahan lasak untuk melindungi panel belakang dan juga modul kamera.

Prestasi masih tidak diuji, kerana masa yang singkat saya tidak berpeluang untuk memasang permua yang sesuai. Saya jangkakan yang ia akan mempunyai prestasi yang baik seperti Mi 11. Mi 11 pada saya adalah 8GB RAM dan cukup baik. Ultra hanya ada 12GB RAM, jadi secara teorinya ia adalah sedikit lebih baik.

Pendapat Awal Kamera

DXOMarkl memberi skor tinggi untuk kualiti kamera peranti ini. Malah skor yang diterima pula adalah paling tinggi dan Mi 11 Ultra kini adalah pertama dalam senarai. Sensor 50 MP, f/2.0, 24mm (utama), 1/1.12″, 1.4µm, Dual Pixel PDAF, Laser AF, OIS digunakan bersama-sama dengan 48 MP, f/4.1, 120mm (periscope telephoto), 1/2.0″, 0.8µm, PDAF, OIS, 5x optical zoom dan 48 MP, f/2.2, 12mm, 128˚ (ultrawide), 1/2.0″, 0.8µm, PDAF. Sensor dToF juga disertakan untuk fokus dan bantuan butiran kedalaman pada potret lebih baik.

Dalam percubaan saya, saya hanya sempat menguji swafoto 20MP – yang mana agak lembut kerana tetapan lalai adalah dengan mod kecantikan diaktifkan. Kamera belakang yang saya uji adalah zum, yang mana cukup baik dan memuaskan. Zum di dalam dewan dengan cahaya kuning yang tidak begitu terang tidak menunjukkan hingar yang jelas. Kemudian kemampuan zum 5x optikal juga cantik dan 10x hibrid juga cukup memuaskan. Seperti biasa pada zum 120x ada banyak hingar dan bergegar – tetapi ia masih mampu menangkap gambar dengan jelas dan teks dari jarak jauh boleh dibaca.

Pada skrin sekunder, perlu mengaktifkan terlebih dahulu dalam aplikasi kamera. Pusing ke belakang, tekan sahaja butang aras suara untuk tangkap. Tetapi tidak semua mod buat masa ini disokong dan hanya segelintir sahaja. Jika berpeluang, saya akan uji lagi untuk ulasan kelak.

Siapa Yang Xiaomi Ingin Tewaskan?

Mi 11 UltraOnePlus 9 ProOppo Find X3 Pro
6.81″ AMOLED, 120Hz Adaptif,
Dolby Vision, 1700 nits, WQHD+
6.7″ LTPO AMOLED, 120Hz Adaptif, HDR10+, 1300 nits, WQHD+6.7″ LTPO AMOLED, 120Hz Adaptif, HDR10+, 1300 nits, WQHD+
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Snapdragon 888 (5nm)
1 x 2.84 GHz Kryo 680
3 x 2.42 GHz Kryo 680
4 x 1.80 GHz Kryo 680
Adreno 660Adreno 660Adreno 660
8/12 Gigabyte8/12 Gigabyte12 Gigabyte
128/256 Gigabyte UFS 3.1128/256 Gigabyte UFS 3.1256 Gigabyte UFS 3.1
Kamera Utama
50+48+48 Megapixel,
(f/2.0+f/4.1+f/2.2)
Kamera Utama
48+50+8+2 Megapixel
(f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Utama
50+13+50+3 Megapixel
(f/1.8+f/2.4+f/2.2+f/3.0)
Kamera Hadapan
20-Megapixel,
(f/2.2)
Kamera Hadapan
16 Megapixel,
(f/2.4)
Kamera Hadapan
32 Megapixel,
(f/2.4)
IP68IP68IP68
Tiada Bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Ada Pemancar infra merahTiada pemancar infra merahTiada Pemancar infra merah
5000mAh (Berwayar/Nirwayar 67W)4500mAh (Berwayar/Nirwayar 65W/50W)4500 mAh (Berwayar/Nirwayar 65W/30W)
RM4299Sekitar RM3700 (Harga model asas India)RM4299

Harga jualan Mi 11 Ultra adalah sama dengan Oppo Find X3 Pro. Jadi di sini pasti akan ada pengguna dalam dilema. Dari pengalaman penggunaan tersendiri, Oppo mempunyai perisian yang baik dan Xiaomi pula ada masalah perisian. Dua-dua mempunyai spesifikasi lebih kurang sama dengan Mi 11 Ultra mempunyai skrin sekunder, kamera 50MP yang terkini, dan pengecasan lebih pantas. OnePlus pula masih tiada khabar bila ia akan dijual di Malaysia.

Tanpa ulasan penuh untuk Mi 11 Ultra, saya tidak boleh cadangkan yang manakah terbaik. Tetapi, jika anda tidak sabar – pilihan di tangan anda. Yang mana anda inginkan? Skrin sekunder penting? MIUI vs Color OS?

Kesimpulan

Xiaomi akhirnya mempunyai sebuah peranti mercu yang serba lengkap dan bersaing dengan jenama premium lain. Jadi spesifikasi tidak menjadi isu. Cukup menarik yang Xiaomi tidak menggunakan gimik pada kamera dengan sensor mengarut. Gimik di sini hanya pada skrin sekunder yang agak membantu jika inginkan gambar yang berkualiti tinggi.

Skrin yang cantik, terang, 120Hz yang lancar dan pantas serta Snapdragon 888 yang tidak dinafikan cukup berkuasa. Sejak siri peranti mercu Mi 10, Xiaomi sudah bermula berubah dan sedar akan kehebatan pesaing. Dengan Mi 11, Xiaomi sudah buktikannya. Kemudian pilihan set rasmi peranti dengan cip SD888 masih terhad, di mana hanya ada Mi 11, Mi 11 Ultra, Oppo Find X3 Pro dan Asus ROG Phone 5 sahaja. Setiap peranti ada fokus masing-masing, seperti ROG dengan fokus kepada permua, Oppo penggunaan seimbang dan kedua-dua Mi 11 untuk mereka yang inginkan ciri dan fungsi menarik.

Harga jualan adalah RM4299, ia agak murah jika dibandingkan dengan harga di China yang mencapai menghampiri RM4500. Adakah ini peranti mercu Ultra yang paling padu atau hanya Ultra pada nama? Jika berpeluang, nantikan ulasan penuh di Amanz.


Pro

  • Konfigurasi kamera yang hebat.
  • Skrin AMOLED yang terang, cantik, dan 120Hz yang gila pantas dan lancar.
  • Pengecasan pantas 67W yang pantas untuk berwayar dan nirwayar.
  • Menyokong IP68
  • Ada skrin sekunder.

Kontra

  • MIUI 12 masih menjengkelkan, banyak iklan, jika iklan dimatikan ada promosi untuk penggunaan aplikasi tersendiri Xiaomi.
  • Tebal dan berat.
  • Bonggol kamera gergasi yang menimbulkan rasa risau dan takut jika terjatuh atau terhentak.
  • Panel belakang yang terlampau berkilat.

TIPS & ULASAN