Di kilang-kilang penggunaan robot untuk menggantikan manusia untuk melakukan perkara remeh sudah dilakukan sejak 1980an. Kini dengan pembelian atas talian semakin berkembang, penggunaan robot juga sudah diperkenalkan di gudang-gudang. Hari ini Softbank telah mengumumkan mereka telah membayar $2.8 bilion (~RM11.57 bilion) untuk mengambil alih 40% pegangan dalam syarikat Autostore.
Autostore menghasilkan sistem robot yang digunakan di gudang-gudang. Kelebihan sistem Autostore ialah ia boleh menyimpan empat kali ganda lebih banyak barang di dalam gudang dengan keluasan lantai yang sama atau hanya mengambil 25% ruang lantai sedia ada. Ini dilakukan dengan menggunakan robot yang menyusun bungkusan dalam tempat simpanan menegak.
Pada waktu ini sistem Autostore telah digunakan di 600 lokasi dengan 20,000 robot beroperasi di 35 negara seluruh dunia. Selain digunakan di gudang penghantaran barangan, robot ini juga boleh digunakan di kilang untuk menyimpan inventori dan di hospital untuk menyimpan bekalan perubatan.